KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga yang akan dilaksanakan secara dua fasa iaitu pada akhir Jun dan Ogos ini bagi merealisasikan matlamat sifar bersih negara ini dengan mengenal pasti inisiatif impak utama dan rancangan pelaksanaannya bagi dua dekad akan datang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata fasa pertama secara dasarnya akan memberi tumpuan kepada projek dan inisiatif strategik secara khusus.
Katanya, ia antara lain membabitkan hidrogen, ladang solar yang besar, zon perindustrian tenaga boleh diperbaharui (RE) khusus yang akan dilaksanakan oleh syarikat berkaitan dan pelaburan yang akan terbabit.
“Bagi fasa kedua, tumpuan adalah kepada pemboleh (enabler), iaitu pembaharuan perundangan, insentif pembiayaan yang tersedia yang akan kita lakukan untuk mempercepatkan peralihan (tenaga).
“Hala tuju ini akan memberi kejelasan sebenar apabila kita mula melakukannya pada bulan Jun dengan fasa pertama dan fasa kedua pada bulan Ogos,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap tama pada Siri Persidangan Affin 2023 bertemakan ‘Malaysia 2023: Bab Pelaburan Baharu’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah.
Terdahulu, Rafizi dalam ucapannya berkata, penstrukturan semula ekonomi memerlukan kerajaan membuat pertaruhan yang mana difikirkan peluang pertumbuhan adalah paling besar dan laluan yang sepatutnya direka untuk mencapai matlamat.
“Dalam skop ini, pertaruhan terbesar Kementerian Ekonomi adalah pada digital dan ekonomi hijau, yang mana saling bersilang di banyak bidang, dan untuk mengembangkan bakat teknologi dengan cara yang disasarkan supaya kita membina keupayaan yang diperlukan.
“Dalam ucapan hari ini, saya akan menekankan bahagian ekonomi hijau. Dalam beberapa bulan lagi, Malaysia akan mewujudkan sistem tukaran tenaga elektrik rentas sempadan serantau yang akan membolehkan peningkatan kapasiti yang pesat bagi tenaga boleh diperbaharui, dengan bergantung pada kelebihan daya saing wilayah.
“Kami menjangkakan yang ekonomi hijau akan berkembang secara besar-besaran dan menjadi penggerak ke arah pertumbuhan Asia Tenggara. Kerajaan telah mengambil langkah berani untuk memperluaskan cita-cita iklim kami dan membuka industri tenaga dengan cara yang bermakna,” katanya.