Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyelesaikan pengambilalihan Boustead Holdings Berhad (BHB) pada tarikh tutup tawaran pada semalam.
Pegangan saham LTAT dalam BHB kini berjumlah kira-kira 97.63% yang membenarkan BHB untuk dinyahsenaraikan dan menggunakan peruntukan Pengambilalihan Wajib bagi baki saham, lantas menjadikannya anak syarikat milik penuh LTAT.
Selaras dengan ini, BHB akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi mengeluarkan status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi Bursa Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian.
Ketua Eksekutif, Dato’ Nazim Rahman berkata, penswastaan BHB menandakan titik permulaan baharu dan melambangkan detik bersejarah bagi LTAT.
Menurutnya, tindakan korporat ini merupakan batu asas kepada perjalanan transformasi LTAT yang amat penting untuk kejayaan pelan pengimbangan semula portfolio yang ditunjangi oleh Rangka Kerja Perumpukan Strategik (SAA).
“Dengan kejayaan ini, kami percaya bahawa nilai komersial BHB akan dibuka, dan menyerlahkan potensi sepenuhnya bagi meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan kami, yang akhirnya memberikan pulangan yang mampan kepada pencarum kami iaitu anggota Angkatan Tentera.
“Langkah kami seterusnya adalah untuk meningkatkan usaha penciptaan nilai dengan melaksanakan strategi penjajaran yang lebih baik di antara LTAT dengan semua peringkat di dalam Kumpulan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Nazim berkata, model milikan penuh tersebut membolehkan LTAT menggunakan budi bicara sepenuhnya dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kesulitan yang dihadapi oleh konglomerat tersebut dengan lebih cepat.
“Kami berazam untuk melaraskan semula BHB sepertimana objektif pelaksanaan penswastaan ini,” ujar beliau.
Menurutnya, LTAT mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemegang saham BHB, khususnya pemegang saham minoriti di atas penerimaan kepada tawaran pengambilalihan serta kepada penasihat, pengawal selia dan juga Kerajaan atas sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan.
BHB, yang telah diseneraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1961, mempunyai sejarah yang panjang sejak hampir 200 tahun yang lalu. Sejak penyenaraiannya, ia telah berkembang kepada sektor utama dalam ekonomi Malaysia termasuk Perladangan, Hartanah & Perindustrian, Farmaseutikal, Industri Berat serta Perdagangan, Kewangan & Pelaburan.