KUALA LUMPUR: Kumpulan Sunway dan UOB Malaysia memeterai perjanjian kerjasama yang bakal menyaksikan kedua-dua syarikat mencapai matlamat bersama dalam mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Kerjasama ini akan menyaksikan Sunway dan UOB Malaysia memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk mengintegrasikan keperluan penyelesaian pembiayaan lestari, infrastruktur, dan teknologi dalam pelbagai bidang perniagaan di bawah ekosistem Sunway, termasuk bidang peruncitan, hospitaliti, penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan, dan bahan binaan.
Ini termasuk program dan bengkel pembinaan kapasiti bersama untuk memudahkan dan meluaskan inisiatif kelestarian bagi penyewa dan pembekal bagi menyediakan penyelesaian pembiayaan lestari untuk memulakan pelaburan dalam infrastruktur yang lebih lestari, serta usaha menangani pelepasan karbon Skop 3.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Sunway, Sarena Cheah berkata, MoU ini adalah satu langkah penting bagi Sunway dan UOB Malaysia dalam perjalanan bersama ke arah masa depan rendah karbon.
“Usaha sama kami selama dua dekad adalah bukti nyata terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh anggota sektor swasta dalam usaha memajukan agenda kelestarian bersama-sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) itu telah ditandatangani oleh Sarena dan Ketua Negara Perbankan Korporat dan Perbankan Borong UOB Malaysia, Anita Tang, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway, Chong Chang Choong dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.
Sementara itu, Ng pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sunway, sebuah organisasi yang berkongsi matlamat bersama untuk seiring mendorong cita-cita pelepasan karbon sifar mereka.
Katanya, kerjasama tersebut melambangkan kekuatan perpaduan dan semangat yang diperlukan untuk menjayakan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Kami bangga dapat menyumbangkan penyelesaian pembiayaan lestari, kerangka kerja serta kepakaran kami dalam kerjasama ini untuk menyokong perniagaan pelbagai bidang di Sunway dan juga rakan-rakan ekosistemnya dalam perjalanan dekarbonisasi mereka,” katanya.
Penyerahan di bawah MOU ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.
Untuk memulakan perjalanan kelestarian mereka, rakan kongsi, penyewa, dan pembekal Sunway berpeluang memanfaatkan instrumen kelestarian dalam talian UOB Malaysia dalam beberapa bulan akan datang untuk merangka pelan tindakan mereka.