KUALA LUMPUR: Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat GIIB Holdings Berhad mendakwa diugut dengan pistol selain ditampar seorang ahli perniagaan Dato’ Sri Andy Lim Kok Han yang dikatakan ada kaitan dengan ‘mafia korporat’, minggu lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika Tai Booi Wee bertemu Dato’ Sri Lim Kok Han dan Chong Long Men di sebuah bar di Solaris Dutamas di sini, 6 Jun lalu dan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu lalu.
Sepertimana laporan polis yang tular, Tai Booi Wee mendakwa diugut dengan pistol kerana menolak desakan dibuat suspek untuk melantik dia dan rakannya sebagai pengarah baharu dalam syarikat mangsa.
Lim Kok Han yang juga pemegang saham GIIB Holdings Berhad didakwa menunjukkan sepucuk pistol yang diselit pada seluar dipakainya sambil mengugut mahu menembak mangsa.
“Dalam pertemuan kedua pula, mangsa dan suspek sekali lagi bertemu dan suspek bertanya mengapa isu pelantikannya sebagai pengarah belum lagi selesai.
“Suspek kemudian mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan menampar mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil antara mereka sebelum dileraikan seorang rakan,” menurut laporan polis
Berikutan kejadian itu, mangsa yang berasa keselamatannya terancam, membuat dua laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata siasatan berkaitan kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membabitkan ugutan jenayah.
Beliau berkata, proses siasatan kes kini diperingkat akhir dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.