SYDNEY: Misi mencari anggota tentera Australia yang hilang selepas helikopter yang dinaiki terhempas di perairan Queensland diteruskan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Empat anggota hilang selepas helikopter MRH-90 Taipan karam di perairan berhampiran Pulau Hamilton ketika menyertai latihan ketenteraan pada Jumaat, kata menteri untuk petugas pertahanan, Matt Keogh.
“Misi mencari sedang berjalan melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Australia dan rakan-rakan kami dari Angkatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), serta perkhidmatan kecemasan Queensland.
“Misi mencari itu dijalankan dalam persekitaran yang mencabar. Kami telah menjumpai sebahagian serpihan pesawat yang sedikit sebanyak akan membantu misi mencari kami,” kata Keogh.
Keogh berkata kira-kira 50 helikopter MRH-90 telah direhatkan dan tidak beroperasi buat sementara waktu.
Beliau berkata helikopter itu dijadualkan menamatkan operasinya pada akhir tahun depan, namun, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi kerana siasatan masih berjalan.
Helikopter itu menyertai Latihan Talisman Sabre, melibatkan hampir 30,000 kakitangan dari 13 negara, termasuk Jerman, AS dan Perancis.
Latihan dihentikan selepas kejadian itu, tetapi disambung semula pada Sabtu, kecuali aktiviti khas di Whitsundays masih ditangguhkan. – BERNAMA