KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-60, Automobili Lamborghini melancarkan Lamborghini Revuelto, iaitu Kenderaan Elektrik Berprestasi Tinggi (HPEV) pertamannya untuk pasaran Malaysia.
Apa yang menariknya, ia menggabungkan enjin V12 dengan teknologi hibrid termaju, memberikan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan untuk peminatnya di seluruh dunia.
Revuelto mentakrifkan paradigma baharu dari segi prestasi, kesukanan dan keseronokan pemanduan daripada seni bina baharunya yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Jentera itu mempunyai 1,000hp yang dihasilkan daripada gabungan kuasa enjin V12 6.5L NA yang baharu bersama tiga motor elektrik.
Kuasa itu disalurkan ke kotak gear klac berkembar yang membuat penampilan pertamanya pada Lamborghini 12 silinder.
Ia menggunakan transmisi E-DCT dengan lapan kelajuan, yang mana ia kompak dan lebih ringan.
Revuelto mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.5 saat; 0-200 km/j dalam masa kurang daripada 7 saat dengan kelajuan tertinggi melebihi 350 km/j.
Ruang dalaman yang lebih selesa berbanding Lamborghini Aventador. Ia membabitkan penambahan ruang bumbung sehingga 23mm dan kelegaan ruang kaki (+84mm).
Biarpun ia sebuah kereta kategori ‘super sport’, ia mempunyai ruang simpanan terutama pada bonet hadapan dan di belakang tempat duduk hadapan, selain mempunyai tempat letak bekas minuman.
Reka bentuknya banyak menerapkan bentuk ‘Y’, ia boleh dilihat pada lampu siang LED pada bahagian hadapan serta pada papan pemuka.
Ruang kokpit, pemandu dan co-pemandu dapat melihat maklumat yang sama secara serentak pada paparan yang terletak di kokpit digital 12.3 inci di bahagian pemandu dan pada paparan 9.1 inci yang dipasang pada papan pemuka di bahagian penumpang.
Pemiliknya boleh memilih lebih 400 warna badan yang ditawarkan, ia membolehkan penciptaan kereta sukan super yang benar-benar mengikut kesesuaian pemiliknya.
Revuelto adalah kereta sukan super pertama yang dipasangkan dengan struktur hadapan 100% serat karbon. Ia juga memastikan tahap penyerapan tenaga yang signifikan lebih tinggi berbanding dengan struktur logam tradisional. Dua kali ganda berbanding rangka hadapan aluminium Aventador
Sementara itu, Pengarah Wilayah Automobili Lamborghini untuk Asia Pasifik, Francesco Scardaoni berkata, kehadiran Lamborghini Revuelto adalah sebuah kenderaan revolusioner yang menentukan semula batasan prestasi dan elektrifikasi dalam industri automotif.
“Permintaan terhadap supercar Lamborghini kuat di Malaysia. Kami yakin Revuelto menetapkan piawaian baru dalam prestasi, teknologi dalam kereta, dan keseronokan memandu, akan terus memikat pelanggan yang kritis dalam pilihan mereka.” katanya.
Buat masa ini, tiada harga yang diumumkan. Bagaimanapun, difahamkan ia bermula RM3 juta sebelum pilihan opsyen, cukai, duti dan insurans.