KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonanan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
DNAA membuka kemungkinan Zahid boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak pendakwa ingin menyemak semula perkara itu.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).
Katanya, oleh kerana pendakwaan sudah memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahmad Zahid, anak guamnya dengan itu hendaklah dibebaskan oleh mahkamah.
Sebelum itu, semasa prosiding pagi tadi, Mohd Dusuki berkata, pihak pendakwaan ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid, 70, berdasarkan 11 alasan, mengikut peruntukan 145 Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.