PETALING JAYA: Syarikat peneraju dalam industri teknologi kewangan, Ihsan Fintech Sdn Bhd (IFSB), jalin kerjasama perkongsian bersama empat rakan strategik bertujuan mengukuhkan kepimpinan syarikat dalam industri kewangan.
Pengarah Eksekutif IFSB, YM Dato Raja Aznil Raja Hisham, berkata kerjasama ini menggariskan komitmen teguh IFSB untuk memberikan solusi kewangan bertaraf dunia sambil memegang teguh piawaian tertinggi dalam integriti, pematuhan, dan rangka kerja undang-undang.
“Dengan kepakaran cemerlang kesemua rakan terkemuka ini, IFSB berhasrat untuk mengukuhkan kepimpinannya dalam industri teknologi kewangan, dengan komitmen untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan inovatif patuh syariah.
“Kami tidak sekadar mengungkapkan hasrat; IFSB merumuskan komitmen terhadap ketelusan, pematuhan, dan amalan beretika dalam ekosistem syarikat,” katanya.
Kerjasama itu melibatkan empat rakan strategik termasuk, Amanah Warisan Berhad (AWARIS) sebagai Pemegang Amanah; Mudharib Partners sebagai Penasihat Kewangan Korporat; Tawafuq Consultancy sebagai Penasihat Korporat Patuh Shariah; dan MAHA Lawyers sebagai Penasihat Undang-Undang Korporat.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif IFSB, Mohamad Noor Sham Abu Hassan, turut memperkenalkan peluang pelaburan: Islamic Redeemable Convertible Preference Shares (RCPS-i) dengan sasaran pulangan tahunan yang menarik sebanyak lima belas peratus (15%) untuk Tranch 1.
Selain itu, para pelabur juga berpotensi untuk menerima bonus berdasarkan prestasi, yang dikenali sebagai Hibah, namun tertakluk kepada prestasi dan atas budi bicara syarikat.
Majlis berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya, dengan kehadiran tokoh-tokoh yang dihormati, termasuk Pengerusi Kumpulan IHSAN, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.