NEW DELHI: India mengimport 327,815 tan minyak sawit dari Malaysia pada Ogos, meningkat kira-kira 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Penghantaran dari Malaysia terdiri daripada 287,018 tan minyak sawit mentah (MSM), 24,000 tan minyak sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan 16,797 tan minyak isirong sawit mentah.
Jumlah import minyak sawitnya pada bulan lalu adalah melebihi 1.12 juta tan, mewakili 61 peratus bahagian dalam keseluruhan import minyak sayuran, demikian menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India.
Ia berkata, walaupun ketersediaan mencukupi, penurunan mendadak dalam harga minyak makan domestik pada Ogos meningkatkan permintaan pengguna. – BERNAMA