KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai pengarah lembaga Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA).
WTCKL dalam satu kenyataan hari ini berkata, Irmohizam juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang menjadi pengerusi Majlis Penasihat Ahli Persidangan dan Pameran (MAC) WTCA.
“Pelantikan Irmohizam mencerminkan sumbangan dan kepimpinannya yang luar biasa dalam industri Acara Perniagaan (BE) global.
“Pengalaman dan kepakarannya yang luas menjadikannya seorang tokoh terbilang dalam bidang itu,” katanya.
Rangkaian WTCA terdiri daripada lebih 340 ahli dari 90 negara di seluruh dunia.
Selain itu, Irmohizam juga merupakan ahli aktif lembaga penasihat Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS).
Pelantikan itu mengesahkan statusnya sebagai pemimpin terkemuka dalam industri BE, dan mengukuhkan lagi kehadiran Malaysia di pentas global, tambah WTCKL.
Mengulas mengenai kejayaannya itu, Irmohizam berkata, beliau bangga dan berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam Lembaga Pengarah WTCA.
“Ini adalah pencapaian penting bukan saja untuk saya tetapi juga untuk Malaysia, dan ia mencerminkan kekuatan dan potensi negara kita dalam komuniti Acara Perniagaan global.
“Saya komited untuk bekerja tanpa jemu untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam industri ini dan menjadikan kita lebih kuat sebagai salah satu pemain industri.
“Kita mampu untuk bersama-sama mencipta perkara yang hebat untuk negara kita dan komuniti perniagaan antarabangsa” katanya.