KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelatih yang terdiri daripada anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.
Beliau berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari, dengan kapasitinya mampu menampung seramai 4,000 pelatih.
“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.
“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ (acuan) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.
“Kita mahu supaya kali ini, kita tidak berbelanja banyak tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu pada sidang medianya, Mohamad berkata, kos pelaksanaan PLKN 3.0 dicadangkan tidak melebihi RM100 juta setahun, lebih rendah berbanding lebih RM500 juta setahun sebelum ini.
“(Penggunaan kem tentera dan PULAPOL) dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan ini juga membolehkan mereka mendapatkan situasi sebenar ketenteraan dan kepolisan.
Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan khidmat jurulatih dari veteran tentera juga dialu-alukan.