KUALA LUMPUR: Sebanyak RM393.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
“Perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.
“Penambahan ini menunjukkan, kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang (expansionary fiscal stance) walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, peningkatan subsidi tahun 2023 ditampung melalui penjimatan perbelanjaan lain dan penambahan hasil.
Bagi tahun 2023 katanya, anggaran hasil yang disemak semula ialah RM303.2 bilion berbanding RM291.5 bilion.
“Jumlah defisit diunjur 5% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebagaimana ditetapkan.
“Bagi tahun hadapan, kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK antara 4 hingga 5%. Sekalipun diakui Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3%.
“Dengan pembaharuan Ekonomi MADANI yang bakal dilaksanakan, kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri 5%,” katanya.
Beliau berkata, kutipan hasil kerajaan 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion.
Katanya, defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3% dibandingkan sasaran 5% tahun ini dan 5.6% tahun 2022.
“Dalam jangka sederhana, kita akan mencapai defisit fiskal 3% atau lebih rendah kepada KDNK sepertimana penanda aras ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.
“Alhamdulillah, kelmarin Dewan Yang Mulia ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 atau Fiscal Responsibility Act (FRA).
“Ini memperkukuh komitmen Kerajaan dalam memperteguh tatakelola serta menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban,” katanya.