KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka akan mengumumkan berita gembira berkenaan peningkatan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula tahun 2024.
Perkara itu selari dengan usaha kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara.
Menteri Komunikasi dan Digital yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dijangka akan direalisasikan menjelang tahun depan.
“Memang sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil. Saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya nanti.
“Tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga sudah meluluskan kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun.
Fahmi berkata, dua perkara itu penting memandangkan tahun hadapan adalah tempoh penting di mana ekonomi mula rancak dengan pelbagai pelaburan diperoleh pada tahun ini.
“Jadi banyak kerja-kerja yang akan bermula dan cabarannya pasti ada untuk memastikan pelaksanaan tidak terencat atau tergendala akibat proses,” katanya.