PUTRAJAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menafikan beliau dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku.
Sebaliknya, tokoh korporat itu mendakwa siasatan terhadapnya bermotifkan politik.
Memetik kenyataan, Daim juga mendakwa, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya boleh mendedahkan bahawa kami menerima surat yang ditandatangani oleh (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki) sendiri yang menolak secara langsung untuk memberitahu apa kesalahan saya.
“Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan sindiran tidak berasas terhadap saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan milik keluarga Daim, disita SPRM.
Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Daim juga sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Daim juga mendakwa Azam tidak profesional apabila mengeluarkan komen-komen bersifat prejudis secara terbuka mengenainya sedangkan siasatan masih lagi berjalan.
Sebaliknya, beliau beranggapan Azam bertanggungjawan ke atas sumber-sumber yang membocorkan berita mengenai siasatan tersebut dan beliau percaya sumber itu membabitkan orang dalam.
Sehubungan itu Daim tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang mendakwa dan mengaitkan dirinya dan keluarga memiliki kekayaan luar biasa dan perkara tersebut telah dibincangkan dengan peguamnya.