KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LLM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan urus niaga pembaharuan lesen melalui aplikasi itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu warganegara.
“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam dalam memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ,” katanya ketika sidang media selepas melawat JPJ Selangor hari ini.
Katanya, pembaharuan tersebut berdasarkan kepada kesediaan sistem pihaknya dan penerimaan orang awam yang positif.
Loke berkata, bagi mengalakkan penggunaan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM), mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5.
“Rebat ini akan dinikmati sepanjang 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember 2024. Inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ seperti Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad.
“Inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang, Kad MyKAS dan Kad MyPR,” katanya.
Beliau berkata setakat 31 Disember lepas, seramai 7.5 juta pengguna yang menggunakan aplikasi MyJPJ dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat tahun ini, lapor Bernama.