KUALA LUMPUR: Mentor usahawan Datuk Wira Dr Hj Azizan Osman sedia menawarkan bantuan bimbingan perniagaan kepada Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adenan Abu, 46.
Dr. Azizan berkata bimbingan ini direalisasikan hasil kerjasama dengan pemilik Him Wellness Clinic, Dr. Samhan yang memfokuskan produk dan servis untuk kesihatan lelaki.
“Saya yakin dengan kerjasama ini, Datuk Red dapat bangkit semula dan mencapai jualan pertamanya sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga bulan.
“InsyaAllah, dengan izin-Nya dan sokongan daripada semua pihak, saya dan RichWorks akan cuba membantu Datuk Red dengan bimbingan perniagaan agar beliau dapat menyelesaikan hutangnya dan keluar dari kebankrupan dengan memulakan perniagaan baru ini,” katanya dalam majlis rumah terbuka di kediaman bonda beliau di Tengkera, Melaka.
Turut hadir, Dr.Samhan yang berbesar hati melantik Datuk Red sebagai ‘Ambassador Partner’ bagi produk kesihatannya.
Tambah Dr Azizan, dengan komitmen yang diberikan, beliau menjangkakan Datuk Red dapat keluar daripada kesilapan dan belenggu hutang sebanyak RM7 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Saya akan pantau beliau, itu syarat saya,” tambahnya.
Sementara itu, suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi itu turut meluahkan kesediaannya untuk menerima bimbingan selepas dilantik menjadi duta dan rakan kongsi produk HIM Coffee hasil kerjasama dengan pemilik Him Wellness Clinic, Dr Samhan.
“Saya berterima kasih kepada Dr. Azizan atas kesediaan beliau untuk membimbing saya dan Dr. Samhan atas peluang untuk berkolaborasi dalam perniagaannya.
“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dengan tunjuk ajar Dr. Azizan untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan bersama Dr. Samhan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Jelasnya lagi, Dr. Azizan turut mencadangkan beliau untuk melantik peguam yang dipercayai bagi mengurus pendapatannya bagi memudahkan proses penyelesaian setiap hutang-hutangnya.
Terdahulu, Dr. Azizan juga mengumumkan RichWorks akan mengadakan bimbingan perniagaan secara langsung di Kota Bharu pada 24 April, dan di Shah Alam pada 22 Mei bagi pengusaha terpilih di sekitar Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia.