Ringgit cecah bawah RM4.10 sedolar AS, tertinggi dalam tiga tahun

KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selepas langkah rangsangan tambahan China pada hujung minggu menyokong sentimen untuk mata wang serantau dan meneruskan kenaikan mendadak dalam saham China.

Ringgit meningkat 0.6 peratus, peningkatan tertinggi dalam kalangan mata wang Asia sedang pesat membangun dan didagangkan pada 4.099 berbanding dolar AS pada tengah hari tadi.

China ialah rakan perdagangan terbesar bagi kebanyakan negara di rantau ini.

Ringgit mencatatkan prestasi suku tahunan cemerlang, meningkat sekitar 12.6 peratus, menjadikannya mata wang dalam kalangan mata wang Asia sedang pesat membangun berprestasi terbaik tahun ini.

Prestasi ini didorong oleh pelbagai faktor seperti aliran masuk pelabur asing yang teguh, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik.

“Kami kekal positif kepada prospek ringgit disokong asas kukuh yang terus bertahan seperti pertumbuhan ekonomi yang teguh, lebihan akaun semasa, peningkatan fiskal dan aliran masuk asing yang mampan,” kata Pakar Strategi Mata Wang OCBC, Christopher Wong.

Saham Beijing melonjak hampir enam peratus, dengan pelabur berharap langkah rangsangan itu akan menghentikan kemelesetan berterusan yang dihadapi oleh ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Pasaran China ditutup mulai esok untuk cuti seminggu.

Bank pusat China berkata, bank-bank negara itu akan menurunkan kadar gadai janji untuk pinjaman rumah sedia ada sebelum 31 Oktober, sebagai sebahagian daripada dasar menyeluruh untuk menyokong pasaran hartanah negara itu.

Rangsangan baharu itu mengimbangi kekecewaan daripada aktiviti pembuatan China yang perlahan pada September.

Baht Thailand, dolar Taiwan dan won Korea Selatan meningkat antara 0.2 peratus dan 0.4 peratus, manakala dolar Singapura dan peso Filipina didagangkan tidak berubah.

Pelabur akan menantikan data inflasi dari Korea Selatan, Indonesia dan Filipina pada minggu ini, manakala laporan pekerjaan AS mungkin akan menentukan sama ada Rizab Persekutuan (Fed) akan melaksanakan satu lagi pengurangan kadar faedah lebih besar.

Indonesia dan Filipina telahpun memulakan kitaran pemotongan kadar faedah, walaupun negara lain seperti Malaysia, Singapura dan Thailand tidak mungkin melonggarkan dasar menjelang 2025, menurut penganalisis Barclays.

“Tinjauan pertumbuhan yang lebih positif jika China menikmati lantunan yang ketara, mengurangkan keperluan untuk pelonggaran dasar monetari untuk beberapa bank pusat.

“Ini akan mengukuhkan pandangan kami bahawa bank pusat pasaran baharu muncul Asia tidak mungkin ‘mengikut’ Fed dalam membuat pemotongan besar atau lebih cepat,” jelas penganalisis Barclays.

Dalam kalangan pasaran Asia lain, saham Taipei susut sebanyak 1.7 peratus, dengan gergasi semikonduktor TSMC rugi 2.5 peratus.

Di Tokyo, Nikkei merosot kira-kira 4.5 peratus, kerana pelabur menunggu arahan dasar daripada Perdana Menteri, Shigeru Ishiba yang telah mengkritik dasar bank pusat sebelum ini.

Saham di Seoul, Manila dan Jakarta jatuh antara 1.0 dan 1.2 peratus. – REUTERS

Coelho

Related Posts

Media Prima catat untung bersih RM20.7 juta tahun kewangan 2025

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia merekodkan keputusan kewangan bagi suku keempat yang kukuh sekali gus memberikan tempoh 12 bulan tahun kewangan 2025…

MBSB tarik balik kes saman pinjaman RM123 juta terhadap KNM

KUALA LUMPUR: KNM Group Berhad mengumumkan bahawa MBSB Bank Berhad secara rasmi menarik balik semua tindakan undang-undang yang difailkan sebelum ini terhadap kumpulan tersebut dan anak-anak syarikatnya. Selain itu katanya,…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

SPRM Jejak Adam Radlan Berhubung Siasatan Baharu Projek Lebuh Raya MEX 2 — Selepas Bebas Tuduhan Jana Wibawa

  • November 15, 2025
SPRM Jejak Adam Radlan Berhubung Siasatan Baharu Projek Lebuh Raya MEX 2 — Selepas Bebas Tuduhan Jana Wibawa

Urgent Call For Sme Readiness As Malaysia Enters The Post E-Invoicing Era

  • November 14, 2025
Urgent Call For Sme Readiness As Malaysia Enters The Post E-Invoicing Era

Malaysia to Host World’s Largest Post-Quantum Cryptography Conference

  • October 27, 2025
Malaysia to Host World’s Largest Post-Quantum Cryptography Conference

Malaysia Anjur Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum Terbesar Dunia

  • October 27, 2025
Malaysia Anjur Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum Terbesar Dunia

Kes Revenue Group: Mahkamah Tangguh 3 Minggu Selepas Representasi Peguam Diterima

  • October 7, 2025
Kes Revenue Group: Mahkamah Tangguh 3 Minggu Selepas Representasi Peguam Diterima

Solarvest, Press Metal Tandatangan PPA RM380 juta Dengan SESCO Untuk Loji Solar 100MW Mukah

  • October 3, 2025
Solarvest, Press Metal Tandatangan PPA RM380 juta Dengan SESCO Untuk Loji Solar 100MW Mukah