KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM yang baharu.
Beliau yang juga memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Dr Mohd Khairuddin Othman yang ditamatkan kontrak pada September 2024.
Berita perlantikan Ismail itu dikongsikan menerusi akaun Facebook AKM.
“Seluruh warga kerja AKM mengucapkan sekalung tahniah kepada Datuk Ismail Yusop atas perlantikan sebagai Ketua Pengarah JKOM.
“Semoga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan,” kata AKM.
Terdahulu, Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM bermula 1 Mac 2023 bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit yang sebelum itu disandang Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.