KUALA LUMPUR: Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan dana Khazanah dan PNB milik Fashion Valet Sdn Bhd berjumlah RM8 juta, tujuh tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
“Tidak bersalah, mohon bicara,” kata pasangan itu.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah mencadangkan, mahkamah mengguna pakai jaminan yang sama ditetapkan dalam prosiding lalu, iaitu RM100,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.
Rosli kemudiannya membenarkan perkara itu, selepas peguam, Ashok Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri berkenaan, tidak membantah isu ikat jamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula kes.