
PUTRAJAYA, — Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu organisasi media negara menyesuaikan diri dengan perubahan pesat teknologi digital dan kebangkitan kecerdasan buatan (AI), umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Mengumumkannya sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Anwar menyifatkan dana itu sebagai peruntukan terbesar pernah diberikan kepada sektor media setakat ini.
Menurut beliau, dana berkenaan akan digunakan untuk latihan, pembangunan dan pendedahan khususnya kepada wartawan muda bagi memastikan profesion kewartawanan kekal relevan dalam era digital.
“Saya bersetuju untuk memperuntukkan dana yang besar sebagai langkah awal bagi memastikan dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam menghadapi perubahan AI, selain menjamin keseimbangan antara teknologi dan etika kewartawanan,” katanya.
Mekanisme permohonan dana akan diumumkan kelak, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang media selepas acara tersebut.
Beliau berkata peruntukan itu merupakan lanjutan kepada kejayaan ‘Project Sigma’ — kerjasama Kementerian Komunikasi dengan Google yang telah membantu lebih 30 organisasi media menjana pendapatan baharu dan menyesuaikan kandungan kepada cita rasa Generasi Z.
“Kami menamakannya Project Sigma kerana ia dekat dengan bahasa anak muda. Ia membantu organisasi media memahami bagaimana generasi ini berinteraksi dengan kandungan,” jelas Fahmi.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan pengamal media agar tidak terjebak dalam budaya ‘manufacturing dissent’ atau ciptaan naratif yang bertujuan menabur kebencian dan memfitnah.
Beliau menegaskan bahawa kebebasan media kekal sebagai asas demokrasi, namun kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan usaha yang memutarbelitkan persepsi demi menyerang mana-mana pihak.
“Ini bukan soal menghalang kritikan. Kritikan wajar dan perlu. Tapi bila ia jadi alat fitnah dan kebencian yang disengajakan, maka itu perlu ditolak,” tegasnya.