
KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Sabah (SDB), memfailkan saman sebanyak RM1.97 bilion terhadap firma audit antarabangsa Ernst & Young (EY) kerana didakwa cuai dalam kerja audit antara tahun 2017 hingga 2022.
Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh portal FocusM, EY didakwa gagal mengesan pelbagai penyelewengan kewangan ketika menjalankan audit tahunan SDB.
Kegagalan itu dipercayai menyumbang kepada kerugian besar dan pinjaman tidak berbayar (NPL) melebihi RM2.2 bilion.
Saman berkenaan difailkan selepas semakan dalaman dilakukan oleh pengurusan baharu yang dilantik oleh pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ia juga dilihat sebagai langkah penting bagi menyelesaikan isu kewangan yang telah lama membelenggu bank tersebut.
Dalam tuntutan mahkamah, SDB menyatakan 17 dakwaan kecuaian audit oleh EY antaranya:
* Gagal mengesan pinjaman tidak berbayar melebihi RM2.2 bilion
* Lemah dalam mengenal pasti risiko kredit dan kawalan dalaman
* Menggunakan laporan jaminan nilai lama yang mengelirukan
* Melaksanakan audit tanpa sikap profesional yang sewajarnya
* Membenarkan amalan ‘perakaunan kreatif’ melalui pinjaman berganda (evergreening)
EY juga didakwa mengetahui masalah kewangan sebenar sejak 2017, tetapi gagal menasihati pihak bank untuk mengambil langkah sewajarnya, dipercayai bagi mengekalkan imej kewangan positif yang diperlukan untuk pembiayaan melalui bon.
Masalah itu didedahkan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Masidi Manjun dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 10 Julai tahun lalu.
Beliau mendedahkan, sebanyak 75% daripada pinjaman SDB meibatkan nilai RM6.6 bilion adalah pinjaman bermasalah.
Beliau juga berkata, pengurusan lama menutup hutang terdahulu dengan memberi pinjaman baharu kepada peminjam yang gagal melunaskan hutang.
Cara tersebut menyembunyikan masalah sebenar dalam laporan kewangan.
Antara tahun 2017 hingga 2022, SDB didakwa mencatat keuntungan palsu sebanyak RM580 juta dengan merekodkan faedah yang belum dibayar sebagai keuntungan.
Lebih membimbangkan, banyak pinjaman diluluskan tanpa semakan risiko atau latar belakang yang teliti, menyebabkan dana awam terdedah kepada kerugian besar.
Model pembiayaan berasaskan bon juga menambah tekanan kewangan apabila bayaran balik tidak mencukupi dan bank terpaksa meminjam semula.
Selepas kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran, SDB diletakkan di bawah Pejabat Ketua Menteri dan Perbendaharaan Negeri.
Bermula pertengahan 2023, pelbagai langkah pemulihan telah dijalankan.
Langkah berkenaan termasuk audit dalaman menyeluruh, semakan semula pinjaman mengikut panduan Bank Negara Malaysia dan tindakan undang-undang terhadap 43 peminjam yang gagal membayar.
SDB juga melantik agensi pemulihan profesional untuk memulihkan sehingga RM1 bilion pinjaman bermasalah setiap tahun selama tiga tahun.
Pada tahun pertama, SDB berjaya memulihkan RM1.9 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mengurangkan hutang bon daripada RM5 bilion kepada RM3.3 bilion.
Awal tahun lalu, SDB turut menolak permohonan pinjaman baharu bernilai RM1.5 bilion selepas menjalankan semakan kredit yang lebih ketat, sebagai bukti komitmen terhadap pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin.
Saman terhadap EY itu menunjukkan ketegasan kerajaan Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang kini lebih mengutamakan ketelusan dan tanggungjawab kepada rakyat.
Tindakan tersebut juga membuktikan syarikat besar tidak terkecuali jika melibatkan kepentingan awam.