KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, telah dilantik sebagai Pengerusi The World Brands Foundation (TWBF), sebuah badan yang terkenal dengan pengiktirafan jenama global melalui The BrandLaureate.
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik TWBF dalam memperkukuh agenda penjenamaan berteraskan nilai, integriti dan kepimpinan etika di peringkat antarabangsa. Tan Sri Dzulkifli kini juga memegang jawatan sebagai Presiden Akademi Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Rasuah (AMLAC), menjadikan beliau tokoh berwibawa dalam hal ehwal tadbir urus, reformasi institusi dan ketelusan awam.
Menurut Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi The BrandLaureate, Hilary Ng, pelantikan Dzulkifli menyerlahkan komitmen TWBF terhadap prinsip jenama yang bukan hanya dinilai berdasarkan prestasi, tetapi juga berdasarkan nilai dan akauntabiliti.
“Pelantikan Tan Sri mengukuhkan keyakinan kami bahawa jenama hebat lahir daripada prinsip kukuh dan kepimpinan yang beretika,” katanya.
Dalam peranan baharunya sebagai Pengerusi, Dzulkifli dijangka mengetuai inisiatif pertumbuhan strategik TWBF dengan memberi fokus kepada penjenamaan beretika, kerjasama antara industri dan peluasan pengaruh jenama yang memberi impak sosial mampan.
“Saya amat menghargai kepercayaan ini dan berbesar hati menyertai TWBF yang memandang penjenamaan sebagai cerminan nilai dan budaya masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Pelantikan Dzulkifli turut dilihat sebagai isyarat jelas bahawa TWBF bersedia mengangkat semula penjenamaan sebagai medium kepimpinan berprinsip, menolak pendekatan semata-mata komersial.






