BERLIN: Kumpulan automotif Jerman, Volkswagen (VW), mengesahkan telah menamatkan perkhidmatan lebih 500 pekerja pada tahun ini atas pelbagai kesalahan disiplin, termasuk ponteng kerja tanpa sebab dan pelanggaran peraturan syarikat.
Jurucakap VW pada Selasa berkata tindakan itu selaras dengan laporan akhbar harian Jerman Bild, yang sebelum ini mendedahkan angka pemecatan besar-besaran itu. Menurut laporan, seramai 548 pekerja di seluruh dunia telah dipecat dalam separuh pertama 2025 sahaja.
VW memperkenalkan sistem pemantauan dalaman berkaitan amaran disiplin dan pemecatan selepas skandal pelepasan diesel pada 2015 yang menjejaskan reputasi kumpulan automotif itu. Langkah ini, menurut jurucakap berkenaan, adalah sebahagian daripada usaha untuk memperketat standard integriti dan memastikan kepatuhan penuh pekerja terhadap peraturan syarikat.
Katanya lagi, pemecatan hanya dibuat selepas proses tatatertib dalaman diselesaikan, dan ia mencerminkan komitmen VW untuk menegakkan budaya kerja yang lebih berdisiplin serta telus dalam operasi globalnya.








