Justin sangkal dihubungi SPRM

author
1 minute, 17 seconds Read

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Justin Lim Hwa Tat menegaskan dirinya tidak menerima sebarang notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memerlukan dia hadir untuk memberi sebarang keterangan.

Ia selepas kenyataan SPRM yang menyenaraikan dirinya sebagai individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Tiada percubaan SPRM untuk menyampaikan notis tersebut di tempat kerja atau kediaman saya. Malah, saya tidak pernah didekati oleh mana-mana pegawai SPRM yang meminta bantuan saya berhubung siasatan seperti mana kenyataan oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyaataan hari ini.

Tambah Justin, beliau telah melantik Tetuan Gobind Singh Deo & Co. untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undang semasa proses siasatan ini berjalan.

“Sebagai warganegara yang mematuhi undang-undang, saya berkomitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu dalam sebarang siasatan secara jujur dan telus.

“Saya menerusi Tetuan yang dilantik akan mengambil apa-apa langkah yang perlu untuk melindungi nama dan reputasi saya, termasuk kemungkinan memulakan prosiding undang-undang sebagai tindak balas kepada mana-mana penerbitan masa depan atau masa lalu yang mungkin memudaratkan diri saya,” tambahnya.

Pada masa sama, Justin turut menegaskan bahawa kenyataan SPRM, yang menggambarkan dirinya sebagai individu yang dikehendaki untuk siasatan jenayah, adalah tidak tepat dan tidak mempunyai asas.

Ujar beliau, kenyataan sedemikian boleh memberi gambaran palsu bahawa dirinya mengelak untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, dan perkara itu jelas sekali tidak berlaku.

“Saya ingin jelaskan bahawa saya telah ke luar negara sejak Februari 2023. Walaupun saya tidak hadir, saya berhasrat untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam mana-mana perkara di mana bantuan saya diperlukan,” ujarnya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *