Pelaburan RM637 bilion realisasikan sasaran RE di Malaysia

author
1 minute, 54 seconds Read

KUALA LUMPUR: Pelaburan sebanyak RM637 bilion diperlukan untuk mencapai matlamat kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam satu nota kajian berkata sejak awal tahun ini, kerajaan telah melancarkan beberapa pengumuman yang menunjukkan fokus yang lebih besar terhadap dasar RE pada masa hadapan.

Ia berkata, peningkatan terbesar sektor itu mungkin datangnya daripada pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa sebagai tambahan kepada sasaran RE yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyReR), kerajaan sedang melihat sasaran kapasiti RE sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

“Mengikut anggaran hari ini, pelaburan sebanyak RM637 bilion diperlukan untuk mencapai matlamat ini, yang merangkumi perbelanjaan untuk infrastruktur grid, kapasiti penjanaan baharu RE, penyepaduan storan tenaga dan kos operasi grid,” katanya.

Menurut Rafizi, kerajaan bersedia untuk melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga secara berperingkat, mengenal pasti inisiatif impak utama dan rancangan pelaksanaan untuk dua dekad akan datang.

“Pelan ini adalah positif memandangkan ia menggambarkan prospek yang melangkaui MyRER,” kata HLIB.

MyRER diumumkan pada 2021 untuk menyokong penyahkarbonan sektor elektrik di Malaysia sehingga 2035.

Ini dijangka memacu pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam sektor tenaga bagi memenuhi sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) sebanyak 45 peratus pengurangan intensiti pelepasan GHG seunit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 berbanding tahap 2005, dan mengurangkan lagi sehingga 60 peratus pada 2035.

HLIB memberikan saranan ‘overweight’ kepada sektor RE berikutan potensi pertumbuhan yang kukuh daripada tema peralihan tenaga berbilang tahun yang tidak berkaitan dengan politik.

Firma penyelidikan itu berkata, pemangkin utama meliputi anugerah Program Tenaga Hijau Korporat, Belanjawan 2024 dan pelan hala tuju/pelaksanaan di masa hadapan.

“Kami percaya pertumbuhan dalam pelaburan untuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) boleh memacu penarafan semula saham-saham RE dengan bekalan yang ‘suam-suam kuku’ di pasaran Malaysia,” katanya.

HLIB berkata, kejayaan Malaysia dalam perjalanan penyahkarbonannya dengan tenaga solar adalah tinggi sepanjang tahun kerana lokasinya yang berhampiran garis khatulistiwa.

Malaysia merancang untuk membina kapasiti solar terpasang sebanyak 7,280 megawatt (MW) menjelang 2035, peningkatan sebanyak 5,746 MW berbanding kapasiti terpasang 2020, bersamaan dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 10.9 peratus.

HLIB memulakan penarafan pada dua saham yang merupakan satu-satunya pemain kejuruteraan solar, perolehan, pembinaan dan pentauliahan yang tersenarai di Pasaran Utama, iaitu Samaiden Group dan Solarvest Holdings.

Ia membuat saranan ‘beli’ ke atas Samaiden dengan harga sasaran (TP) RM1.43 sesaham dan saranan ‘pegang’ ke atas Solarvest dengan TP RM1.20 sesaham.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *