CelcomDigi, SK Telecom firma Korea jalin kerjasama perkasa ‘Metaverse’

author
1 minute, 27 seconds Read

BARCELONA: CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik dengan SK Telecom, pengendali telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan bagi memperkasakan ‘metaverse’ dan kecerdasan buatan (AI) .

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, berkata memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama SK Telecom itu adalah bagi meneroka dan membangunkan Platform Metaverse Mudah Alih pertama di Malaysia yang diterajui oleh pengendali.

Beliau berkata, di bawah MoU itu, kedua-dua kumpulan akan mencipta peluang perniagaan baharu menerusi kerjasama untuk membangun dan menawarkan kes kegunaan metaverse dan AI.

Ini, katanya akan dioptimumkan untuk pasaran Malaysia melalui Pusat Inovasi CelcomDigi.

“Dengan memanfaatkan proses pengkomputeran pinggir untuk pengalaman kependaman yang terbaik, pembangunan Platform Metaverse Mudah Alih pertama di Malaysia ini turut mendorong penciptaan bersama.

“Malah, ia akan menawarkan kandungan dan perkhidmatan Metaverse baharu untuk pelanggan dan perniagaan di Malaysia.

“CelcomDigi dan SK Telecom akan meneroka penciptaan perkhidmatan Metaverse merentasi vertikal seperti pendidikan, kesihatan, peruncitan dan hiburan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Ekosistem Metaverse di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menandatangani MoU itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Young-sang Ryu pada Kongres Dunia Mudah Alih 2023 di sini.

Idham berkata, kerjasama itu akan menjadikan kedua pihak sebagai pelopor dalam pembangunan perkhidmatan Metaverse yang inovatif untuk Malaysia dengan memanfaatkan teknologi terkini termasuk 5G.

Beliau berkata, ia juga adalah sebahagian daripada perjalanan untuk menjadi syarikat telekomunikasi dan teknologi yang terkemuka di Malaysia.

“Kami berazam untuk berpadu tenaga dengan lebih banyak organisasi tempatan untuk mencipta kes kegunaan inovatif yang akan menyemarakkan pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Sementara itu, Young-sang berkata, dalam langkah kumpulan melebarkan sayap ke pasaran global dengan platform ‘metaverse ifland’, syarikat telekomunikasi utama di Asia Tenggara memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan, SK Telecom akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di rantau ini untuk mengembangkan skop perkhidmatan metaverse.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *