Tekanan jualan berterusan Bursa Malaysia ditutup rendah

2 minutes, 23 seconds Read

Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini berbanding aliran serantau disebabkan aktiviti penjualan membabitkan saham berwajaran tinggi terpilih.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 0.87 mata kepada 1,452.68 berbanding paras penutup 1,453.55 pada Jumaat. 

Indeks utama itu dibuka tinggi melonjak 5.22 mata kepada 1,458.77 dan bergerak antara paras 1,452.12 dan 1,460.98 sepanjang hari dagangan. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 465 berbanding 380, manakala 415 kaunter tidak berubah, 959 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 2.84 bilion unit bernilai RM1.79 bilion daripada 2.69 bilion unit bernilai RM1.89 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup mendatar selepas dagangan yang tidak menentu kerana pelabur berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia pada Rabu dan Khamis ini.

Justeru, beliau berpendapat indeks akan kekal dalam fasa penyatuan dalam jangka pendek.

“Indeks serantau utama kebanyakannya berada dalam wilayah positif berikutan petunjuk positif daripada ekuiti global pada Jumaat lepas dalam persekitaran kebimbangan yang sudah reda terhadap kadar faedah berikutan komen terbaharu daripada pegawai Rizab Persekutuan dan data ekonomi terkini.

“Oleh itu, kami menjangka aliran FBM KLCI tidak berubah dengan kecenderungan menaik dalam julat 1,450-1,470 untuk minggu ini. 

Secara teknikal, kami melihat paras rintangan serta-merta pada 1,460 dengan paras sokongan pada 1,440,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Hong Kong Hang Seng bertambah 0.17 peratus kepada 20,603.19, Indeks Straits Times Singapura naik 0.29 peratus kepada 3,241.30, manakala Nikkei Jepun 225 meningkat 1.11 peratus kepada 28,237.78 dan Kospi Korea Selatan melonjak 1.26 peratus kepada 2,462.62.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank susut dua sen kepada RM8.69, Public Bank merosot empat sen kepada RM4.10, Tenaga Nasional berkurangan enam sen kepada RM9.34, Petronas Chemicals melonjak empat sen kepada RM7.30 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.59.

Bagi saham aktif, Minda naik 4.5 sen kepada 13 sen, Velesto Energy bertambah 2.5 sen kepada 24 sen, MyEG menokok 1.5 sen kepada 75 sen manakala Saudee dan Vinvest tidak berubah masing-masing pada empat sen dan 23 sen

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 10.54 mata kepada 10,598.97, Indeks FBM 70 meningkat 60.42 mata kepada 13,507.03 dan Indeks FBM ACE melonjak 50.55 mata kepada 5,477.28 dan Indeks FBMT 100 Index naik 6.08 mata kepada 10,275.84 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 39.42 mata kepada 10,853.46.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 48.18 points kepada 6,879.18 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 0.50 sen kepada 178.15, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.77 points kepada 16,105.96.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.98 bilion saham bernilai RM1.47 bilion daripada 1.95 bilion saham bernilai RM1.64 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran naik kepada 263.17 juta unit bernilai RM44.89 juta daripada 254.87 juta unit bernilai RM48.60 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE bertambah kepada 595.73 juta saham bernilai RM268.61 juta daripada 479.55 juta saham bernilai RM201.85 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 482.90 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (369.63 juta); pembinaan (55.28 juta); teknologi (264.04 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.94 juta); hartanah (138.08 juta); perladangan (63.05 juta); REIT (8.79 juta), dana tertutup (1,000); tenaga (311.87 juta); penjagaan kesihatan (115.40 juta); telekomunikasi dan media (56.91 juta); pengangkutan dan logistik (28.19 juta) dan utiliti (26.46 juta). – Bernama

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *