Malaysia tak terkesan terus keruntuhan Silicon Valley Bank

1 minute, 8 seconds Read

KUALA LUMPUR: Keruntuhan bank Amerika Syarikat (AS), Silicon Valley Bank (SVB) boleh memberikan sedikit kesan kepada Malaysia walaupun pada skala lebih kecil jika perkembangan itu menjejaskan pasaran modal dan perbankan negara itu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Malaysia bagaimanapun mungkin tidak mengalami kesan secara langsung daripada keruntuhan bank ke-16 terbesar di AS itu memandangkan tiada syarikat Malaysia yang mempunyai simpanan di bank berkenaan.

“Rata-rata hanya syarikat pemula besar di Silicon Valley yang mempunyai akaun di SVB,” katanya dalam satu hantaran di Twitter bagi menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan gelombang keruntuhan bank di AS itu boleh melanda pasaran kewangan di negara ini. 

SVB adalah bank runcit terbesar yang mengalami kegagalan sejak krisis kewangan 2008.

Masalah di bank itu meningkat selepas kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang berlanjutan selama setahun bermakna sekuriti yang dimilikinya dijual pada harga yang jauh lebih rendah, masalah yang mungkin akan dihadapi oleh bank-bank lain.

Keruntuhan SVB, yang memberikan pengkhususan kepada pembiayaan modal teroka terutamanya dalam sektor teknologi, berlaku selepas pendeposit mengeluarkan sejumlah besar simpanan sehingga menyebabkan ia tidak boleh beroperasi sendiri.

Semalam, pengawal selia di New York berkata mereka telah menutup operasi satu lagi bank, Signature Bank.

Krisis itu memaksa Fed, Jabatan Perbendaharaan dan Federal Deposit Insurance Corp (FDIC) berikrar untuk melindungi sepenuhnya semua pendeposit dan memberikan sokongan kepada mana-mana bank yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan tunai, dengan menyediakan terma lebih mudah untuk pinjaman jangka pendek.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *