BNM sumbang RM2.7 bilion dividen kepada kerajaan

author
2 minutes, 9 seconds Read

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyumbang RM2.7 bilion daripada keuntungan bersihnya pada tahun kewangan 2022 sebagai dividen kepada kerajaan, lebih rendah berbanding RM5 bilion pada 2021.

Bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2022, berkata pada tahun lalu ia menjana keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM6.986 bilion berbanding RM12.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih selepas cukai pada tahun lalu itu juga lebih rendah berbanding kadar purata antara 2017 hingga 2021 pada RM9.389 bilion.

“Keuntungan bersih yang lebih rendah adalah disebabkan oleh pulangan pelaburan yang rendah berikutan cabaran dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa.

“Malah ia juga kesan daripada kenaikan kadar faedah yang agresif oleh negara maju, yang mengakibatkan nilai aset kewangan menjadi lebih rendah selain konflik ketenteraan di Ukraine dan kebimbangan mengenai sekatan pergerakan yang berlarutan di China.

“Ia bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut dialami oleh bank pusat yang lain,” katanya.

Daripada jumlah keuntungan bersih selepas cukai pada 2022, RM4.236 bilion akan dipindahkan kepada Rizab Risiko Bank.

Disebabkan keadaan ekonomi global dijangka terus mencabar, penting bagi BNM katanya untuk terus mengukuhkan kedudukan rizab risikonya.Oleh itu, ia dapat membina penampan kewangan bagi menghadapi volatiliti pasaran kewangan dan kejutan ekonomi pada masa hadapan.

“Rizab Risiko Bank untuk menampung kerugian luar jangka yang berpunca daripada keadaan pasaran kewangan yang buruk adalah sebanyak RM120.8 bilion atau 20 peratus daripada jumlah aset selepas mengambil kira pemindahan keuntungan bersih bagi 2022,” katanya.

Pada 2022, BNM meraih pendapatan berjumlah RM8.515 bilion, berbanding RM14.6 bilion, selepas ditolak kos berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab antarabangsa dan kos menjalankan operasi monetari.

Daripada jumlah pendapatan itu, bank pusat mengeluarkan perbelanjaan untuk mengurus dan mentadbir operasi (perbelanjaan berulang) serta perbelanjaan untuk membiayai projek pembangunan, projek jangka panjang selaras dengan objektif dan fungsi utamanya.

Ini termasuk perbelanjaan yang membabitkan operasi mata wang dan perbelanjaan untuk menyelenggara infrastruktur pembayaran negara.

Perbelanjaan berulang dan perbelanjaan pembangunan ini berjumlah RM1.48 bilion berbanding RM1.8 bilion pada 2021.

Sehingga 31 Disember 2022, jumlah aset BNM adalah sebanyak RM619 bilion berbanding RM551 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, sebahagian besar iaitu 81 peratus terdiri daripada portfolio rizab antarabangsa pada RM503 bilion.

Liabiliti BNM berpunca terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan (RM221.9 bilion) dan mata wang dalam edaran (RM162 bilion).

BNM mengurus kewangannya dengan matlamat bagi memastikan ia mempunyai sumber untuk melaksanakan mandatnya iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mapan.

Dalam melaksanakan mandat ini, bank pusat komited untuk bertanggungjawab, berhemat dan berdisiplin dalam pengurusan sumber negara.

“Meskipun BNM adalah sebuah badan berkanun, ia tidak bergantung pada dana daripada kerajaan untuk membiayai operasi harian.

“Sebaliknya, operasi BNM dibiayai oleh pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan bank dalam rizab antarabangsa negara,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *