Kaedah baki berkurangan tambah baik pinjaman sewa beli – CCOB

author
3 minutes, 3 seconds Read

KUALA LUMPUR: Pengguna bakal mendapat layanan lebih adil dan berkemungkinan bayaran faedah bank yang lebih rendah membabitkan pinjaman sewa beli apabila kaedah Peraturan 78 dan kadar rata untuk pengiraan faedah dilarang untuk digunakan oleh penyedia pinjaman dan digantikan.

Ia dicadang digantikan dengan kaedah baki berkurangan.

Ini adalah susulan penambahbaikan yang dicadangkan oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) ke atas Akta Sewa Beli 1967 (ASB) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada suku keempat tahun ini, bersama-sama dengan pembentangan Akta Kredit Pengguna (CCA).

Berdasarkan penambahbaikan itu, CCOB berkata, penyedia sewa beli akan menggunakan kaedah baki berkurangan untuk mengira faedah pada masa akan datang.

“Kaedah ini membabitkan pengiraan faedah ke atas baki pinjaman setiap bulan, iaitu setiap kali peminjam membayar balik pinjaman, jumlah faedah yang dikenakan juga berkurangan dari semasa ke semasa.

“Ini menyebabkan pembayaran balik bulanan yang lebih adil sepanjang tempoh pinjaman terutama jika peminjam menyelesaikan pinjaman sewa beli mereka dengan lebih awal dengan menggunakan kaedah baki berkurangan, baki jumlah yang perlu dibayar balik akan lebih rendah berbanding dengan menggunakan kaedah Peraturan 78.

“Sebagai contoh, pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh institusi kewangan adalah berdasarkan kaedah baki berkurangan,” katanya.

Di bawah Peraturan 78, faedah dikira pada peringkat awal berdasarkan jumlah pokok, tanpa mengambil kira pengurangan jumlah pokok tertunggak selepas setiap bayaran balik yang dibuat oleh peminjam.

Maka, peminjam membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman dan mereka yang memilih untuk menyelesaikan pinjaman lebih awal akan membayar amaun pokok tertunggak yang lebih tinggi.

CCOB menambah, sebagai contoh perbandingan antara pinjaman sewa beli menggunakan Peraturan 78 dan kaedah baki berkurangan, bagi pinjaman berjumlah RM100,000 untuk tempoh 108 bulan dengan kadar faedah yang dinyatakan 10 peratus / kadar faedah berkesan 16.1 peratus dan jumlah faedah yang perlu dibayar sepanjang tempoh itu ialah RM90,000.

Katanya, walaupun bayaran bulanan ialah sama iaitu RM1,760, sekiranya peminjam mahu menyelesaikan pinjamannya pada bulan ke-36, bagi kaedah Peraturan 78, jumlah baki keseluruhan yang perlu dibayar ialah RM86,456.51, manakala bagi kaedah baki berkurangan ialah RM80,874.27.

“Jadi terdapat perbezaan sebanyak RM5,582.24 jika menggunakan kaedah baki berkurangan berbanding Peraturan 78,” katanya.

CCOB, bagaimanapun penambahbaikan yang dicadangkan kepada Akta Sewa Beli 1967 (ASB) itu hanya akan terpakai ke atas kontrak sewa beli baharu yang ditandatangani selepas peruntukan yang disemak semula di bawah ASB digubal dan berkuat kuasa.

Katanya, peminjam sedia ada pula akan terus tertakluk kepada terma di bawah kontrak sewa beli sedia ada.

“Pindaan terhadap ASB ini disasarkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada suku keempat tahun ini, bersama-sama dengan pembentangan Akta Kredit Pengguna (CCA).

“Larangan ini bertujuan untuk memastikan hasil yang lebih adil bagi peminjam, terutaman bagi mereka yang menyelesaikan pinjaman mereka dengan lebih awal. Ini kerana, cara pengiraan kaedah Peraturan 78 memperuntukkan bayaran faedah yang lebih tinggi pada permulaan tempoh pinjaman.

“Hal ini bermakna sebahagian besar daripada jumlah pembayaran balik pinjaman akan digunakan untuk membayar faedah berbanding baki jumlah pokok. Peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman mereka dengan lebih awal akan berhadapan dengan jumlah baki pokok yang lebih tinggi berbanding kaedah pengiraan pembayaran faedah yang lain,” katanya.

CCOB berkata, kaedah kadar rata adalah tidak adil kepada peminjam kerana sepanjang tempoh pinjaman, peminjam dikenakan faedah berdasarkan jumlah pokok asal yang mereka pinjam dan bukannya berdasarkan jumlah baki yang berkurangan dengan setiap pembayaran balik.

Katanya, ini menyebabkan peminjam membayar faedah yang lebih tinggi berbanding pinjaman yang mengenakan faedah berdasarkan kaedah baki berkurangan.

“Kaedah Peraturan 78 diiktiraf secara global sebagai tidak adil kepada peminjam. Amalan ini dilarang dalam bidang kuasa seperti Australia, New Zealand, United Kingdom (UK), dan beberapa negeri di Amerika Syarikat. Penawaran pinjaman kadar rata juga adalah dilarang di Australia dan New Zealand.

“Dalam bidang kuasa seperti UK dan Amerika Syarikat, tawaran pinjaman kadar rata hanya dibenarkan apabila faedah yang dikenakan adalah sama atau lebih rendah daripada faedah yang dikenakan di bawah kaedah baki berkurangan,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *