SAMENTA gesa Kabinet tolak cadangan naikkan caruman KWSP majikan

author
2 minutes, 8 seconds Read

KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa Jemaah Menteri menolak cadangan untuk menaikkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan.

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, kerajaan sebaliknya perlu memberi tumpuan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, membantu perniagaan dan golongan pekerja menjadi lebih produktif.

Katanya, sebarang kenaikan caruman KWSP ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan bukan sahaja tidak produktif, tetapi akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada membantu rakyat Malaysia.

Ujar beliau, pemulihan ekonomi pasca-pandemik negara masih tidak rapuh walaupun ekonomi secara kasarnya telah pulih ke tahap 2019, namun PKS terus ketinggalan di belakang syarikat-syarikat yang lebih besar. 

“Sebagai contoh, statistik untuk 2021 menunjukkan bahawa PKS hanya berkembang sebanyak 1% berbanding 4.4% untuk syarikat yang lebih besar. Pemulihan yang tidak seimbang ini diburukkan lagi dengan peningkatan kos yang melanda PKS.

“Perlu diingat bahawa PKS kita terpaksa menanggung kenaikan gaji minimum sebanyak dua kali sejak 2020. Kami juga dipaksa memberikan faedah sampingan yang lebih tinggi, termasuk cuti bersalin yang lebih lama dan ambang lebih rendah untuk bayaran lebih masa. 

“Kami masih menunggu jawapan daripada kerajaan kepada rayuan kami agar kos tambah ini disubsidi seperti yang diamalkan di Singapura dan United Kingdom,” katanya.

Menurut Ng, apabila kerajaan merayu kepada PKS untuk mengekalkan pekerja ketika pandemic COVID-19, pihaknya menyahut cabaran itu. 

Katanya, hasilnya bilangan pekerjaan hanya turun 2.5% antara awal 2020 hingga pertengahan 2021, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  negara menyusut sebanyak 5.6%, dan antara 7 hingga 12% perniagaan terpaksa guling tikar pada 2020. 

“Banyak PKS terpaksa mencecah rizab mereka, dan ada juga yang menjual hartanah dan aset lain, untuk membayar gaji walaupun perniagaan mereka tidak dapat beroperasi.

“Walaupun usaha tersebut jarang dihargai, kami rela kerana bagi kebanyakan pengusaha PKS, itulah sumbangan kami untuk membantu Malaysia pulih kembali. Tetapi cadangan kelompok kecil pekerja ini untuk menaikkan caruman KWSP, tidak boleh diterima, dan kami menggesa kerajaan untuk tidak membazir masa mengkaji idea yang tidak bernas ini,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kumpulan lain yang mencadangkan agar caruman KWSP (majikan) dinaikkan secara ‘berperingkat’. 

“Kami turut menolak cadangan ini. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh terus dijadikan tebusan oleh kumpulan oportunistik, dan golongan peniaga kita tidak boleh mengambil pendekatan ‘tolak ansur’ setiap kali cadangan yang tidak masuk akal dikemukakan,” katanya.

Tambah beliau, hakikatnya ialah margin perniagaan berada pada titik terendah dalam sejarah terkini, yang mana PKS telah memainkan peranan dalam membantu pemulihan negara dan tiada lagi wang untuk diberikan. 

“Sebaliknya, kita mesti meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia dengan mewujudkan lebih banyak industri dan pekerjaan bernilai tinggi, menggalakkan rakyat Malaysia menabung wang dengan lebih banyak, dan melindungi PKS dengan segala kos supaya pekerjaan serta kehidupan rakyat Malaysia terlindung,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *