Malaysia, Korea Selatan tandatangan kontrak perolehan FA-50 TUDM Selasa ini

author
1 minute, 36 seconds Read

LANGKAWI: Malaysia dan Korea Selatan akan menandatangani kontrak perolehan pesawat FA-50 buatan Korea Selatan Selasa ini pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.

Sebanyak 18 pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/FLIT) ini dibeli bagi meningkatkan keupayaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong Sup dijadual melakukan lawatan empat hari ke Malaysia bermula hari ini untuk mengadakan perbincangan tentang kerjasama industri pertahanan serta menghadiri majlis menandatangani kontrak penjualan pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap dalam laporannya berkata Lee akan bertemu dengan rakan sejawatannya daripada Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lee akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin Malaysia itu tentang kerjasama di dalam bidang pertahanan antara kedua-dua negara, selain menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

“Lee akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian bagi eksport pesawat FA-50 itu kepada Malaysia dan beliau juga akan menyatakan komitmen Korea Selatan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama industri pertahanan dengan negara Asia Tenggara itu,” menurut laporan itu.

Pada Februari lepas, syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) dan Kementerian Pertahanan Malaysia menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) bagi perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20.

Surat niat itu telah ditandatangani di antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, KANG Goo Young dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz.

Perolehan bernilai RM4 bilion itu merupakan Fasa 1 kepada program FLIT/LCA yang digariskan di bawah pelan strategik CAP 55) TUDM. 

Di bawah pelan tersebut, TUDM menggariskan 36 buah perolehan FLIT/LCA yang dilakukan secara berfasa.

FA-50 Block 20 merupakan varian terkini dan paling berkemampuan pesawat FA-50. Selain Malaysia, Poland turut memilih varian FA-50 Block 20.

Sementara itu, LIMA 2023 juga menyaksikan kehadiran pasukan aerobatik Black Eagles Tentera Udara Korea Selatan yang akan membuat pertunjukan udara.

Pasukan ini melibatkan sembilan pesawat latihan T-50B dan tiga pesawat pengangkut C-130 serta 110 kru.

Turut menyertai LIMA 2023 ialah kapal pendarat Nojeokbong milik tentera laut Korea Selatan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *