KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal urus niaga pagi ini dan dagangan agak lesu berikutan kekurangan berita penggerak pasaran selain para pelabur mengambil sikap berhati-hati sementara menantikan data indeks pembuatan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Sesetengah pelabur di pasaran tempatan juga dilihat mengaut keuntungan daripada saham wajaran tinggi selepas pengumuman keputusan kewangan masing-masing.
Pasaran semalaman Wall Street ditutup sempena Hari Peringatan manakala pasaran China terjejas oleh keputusan perindustrian China yang kurang menggalakkan.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 5.47 mata kepada 1,399.46 berbanding 1,404.93 pada penutupan Isnin.
Namun begitu, indeks utama dibuka 1.11 mata lebih tinggi pada 1,406.04 sebelum menyusut kemudiannya.
Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 186 berbalas 128, manakala 225 kaunter tidak berubah, 1,725 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 167.56 juta unit bernilai RM91.54 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata memandangkan corak dagangan bercampur antara pasaran serantau, bursa tempatan dijangka mempamerkan pergerakan hambar hari ini.
“Justeru, kami menjangkakan indeks akan kembali dalam aliran julat 1,400 hingga 1,410,” katanya kepada Bernama.
Di bursa tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal turun 12 sen kepada RM4.78, CelcomDigi lemah enam sen kepada RM4.50, Tenaga Nasional susut 11 sen menjadi RM9.64 manakala IOI kerugian tujuh sen kepada RM3.88 dan Public Bank rendah dua sen untuk mencatatkan harga RM3.87.
Antara saham aktif, Dagang Nexchange, Cloudpoint dan Meta Bright semuanya tidak berubah, masing-masing merekodkan harga 39 sen, 51.5 sen dan 17.5 sen. YTL pula menambah 2.5 sen kepada 92.5 sen dan Tanco naik setengah sen kepada 50.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 32.46 mata kepada 10,292.59, Indeks FBMT 100 menguncup 33.71 mata kepada 9,997.90 dan Indeks FBM Emas Syariah menyusut 47.94 mata kepada 10,662.13.
Indeks FBM 70 turun 23.44 mata kepada 13,558.18 manakala Indeks FBM ACE 5.77 mata lebih tinggi pada 4,976.85.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 10.96 mata kepada 15,286.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.83 mata kepada 163.70 dan Indeks Perladangan berkurangan 35.70 mata kepada 6,758.71.
Indeks Tenaga susut 2.25 mata kepada 811.62.