KWSP catat pendapatan pelaburan RM15.16 bilion suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2023

author
2 minutes, 50 seconds Read

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM15.16 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2023, naik 3% daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama pada 2022.

Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam suku tahun pertama 2023 seperti gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan ketidakstabilan sistem kewangan, termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat (AS), KWSP berjaya mengekalkan prestasi yang konsisten sepanjang suku tahun itu.

Katanya, ini susulan perkembangan ekuiti global yang mencatatkan keuntungan kukuh dalam tempoh pelaporan berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan yang semakin berkurangan dalam pasaran maju serta keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi China.

“Walaupun KWSP mencatatkan pulangan positif setakat tahun ini, keadaan pasaran kewangan masih tidak menentu, dengan ketegangan geopolitik dan inflasi yang tinggi terus menjadi kebimbangan bagi pasaran utama di seluruh dunia.

“Sebagai tindak balas kepada situasi ini, KWSP telah menumpukan strategi portfolionya ke arah syarikat yang berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh yang membolehkannya untuk memberikan dividen yang stabil,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada suku pertama 2023, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

Kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Turun nilai kos bagi suku pertama 2023 adalah secara relatifnya minimum pada RM440,000 berbanding RM1.09 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2022, hasil daripada pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana KWSP.

Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

Instrumen pendapatan tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, telah menjadi tunjang kepada KWSP dan terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, di samping mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek dan memberikan kestabilan kepada pendapatan keseluruhan KWSP.

Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta pinjaman dan bon, menyumbang 32% atau RM4.79 bilion kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku pertama 2023.

Kedua-dua MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) meningkat pada suku tahun berkenaan berikutan hasil penanda aras keseluruhan telah merosot dengan jangkaan inflasi yang berkurangan di AS, seterusnya memberikan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan pelaburan.

Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan peningkatan dalam pendapatan kepada RM920 juta pada suku pertama 2023.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang juga meningkat kepada RM490 juta, daripada RM280 juta pada suku pertama 2022, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Aset pelaburan keseluruhan KWSP setakat Mac 2023 meningkat kepada RM1.04 trilion, di mana pelaburan luar negara menyumbang 37% daripada keseluruhan jumlah aset.

Pada suku pertama 2023, pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus mengatasi prestasi dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP, seterusnya menjana pendapatan RM7.04 bilion, mewakili 46% daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.

Sementara itu, pelaburan domestik KWSP menyumbang 63% daripada jumlah aset, dilaburkan terutamanya dalam instrumen berpendapatan tetap dipegang hingga matang yang terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui pendapatan faedah.

KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih daripada 70% daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Sebanyak RM13.33 bilion daripada RM15.16 bilion pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM1.83 bilion untuk Simpanan Shariah, lapor Berita Harian.

Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio syariah dan konvensional

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *