Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

author
1 minute, 37 seconds Read

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat sedikit pada awal dagangan Selasa namun susut kemudiannya berikutan jualan berterusan saham wajaran tinggi terpilih biarpun Wall Street dalam aliran positif selepas peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menangguhkan kenaikan kadar faedah.

Pada 9.10 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.0 mata kepada 1,385.77 daripada 1,386.77 pada akhir dagangan semalam.

Indeks utama itu dibuka menokok 0.92 mata kepada 1,387.69.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 166 berbanding 120 manakala 265 kaunter tidak berubah; 1,693 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 212.55 juta unit bernilai RM81.09 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI mencatat kenaikan daripada penurunan sebelumnya, berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah secara menyeluruh.

“Namun, indeks utama kekal di paras terendah dalam tempoh dua minggu ketika kami melihat 1,390 sebagai paras rintangan yang kukuh.

“Kami menjangkakan indeks berkenaan berlegar dalam jajaran 1,380 hingga 1,390 dan paras 1,400 sebagai sasaran seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Pak Leng turut mengunjurkan sektor tenaga akan mengalami tekanan kecil apabila harga minyak mentah terus merosot dengan minyak mentah Brent merosot ke bawah AS$72 setong menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, esok.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank naik satu sen kepada RM8.64 dan RM3.86; CIMB susut tiga sen kepada RM4.99 dan Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM6.57 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.26.

Bagi saham aktif, Eduspec rugi setengah sen kepada 3.5 sen; Kumpulan Jetson berkurangan 7.5 sen kepada 35 sen; Sarawak Consolidated dan Barakah Offshore Petroleum naik 1.5 sen kepada tujuh sen dan 34 sen dan Classita tidak berubah pada 10.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 0.36 mata kepada 10,216.76; Indeks FBMT 100 berkurangan 0.39 mata kepada 9,914.15 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 2.99 mata pada 10,549.62.

Selain itu, Indeks FBM 70 meningkat 27.41 mata kepada 13,502.48 manakala Indeks FBM ACE naik 18.70 mata kepada 5,095.33.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.21 mata kepada 15,225.63 dan Indeks Tenaga menokok 2.49 mata kepada 780.36.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan turun 28.22 mata kepada 6,729.42 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.54 mata kepada 159.27.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *