KLN tegaskan perjanjian Sempadan Maritim Malaysia-Indonesia ambil kira nasihat pakar Maritim Negara

author
2 minutes, 19 seconds Read

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan sekali-kali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan melibatkan isu kedaulatan Malaysia, termasuk isu berhubung persempadanan maritim negara.

Kementerian Luar Negeri (KLN), dalam satu kenyataan berkata, pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi antara Malaysia dengan Indonesia berhubung Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua negara mengambil kira nasihat dan pandangan pakar-pakar maritim negara.

“Pasukan ini diterajui KLN, dan dianggotai agensi-agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN),” katanya.

Menurut KLN, ia turut dipersetujui mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama menggunakan prinsip pembatasan sempadan maritim.

Ia juga berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh bagi menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim.

“Pemeteraian kedua-dua Triti ini merupakan satu milestone kepada Malaysia dan Indonesia.

“Ianya merupakan hasil proses rundingan selama 18 tahun yang melibatkan aspek-aspek teknikal, perundangan, ekonomi dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kali terakhir Triti seumpama ini dimeterai antara Malaysia dan Indonesia adalah pada 53 tahun yang lalu iaitu Triti 1970,” menurut KLN.

Jelas KLN lagi, apabila triti-triti tersebut mula berkuat kuasa, ia akan memberikan kejelasan dari segi kedaulatan dan bidang kuasa yang membolehkan kedua-dua negara menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing-masing secara lebih berkesan.

Ini termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti ekonomi dan pembangunan seperti perikanan dan eksplorasi dan eksploitasi sumber marin dalam zon laut wilayah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan lebih terjamin.

KLN dalam kenyataan itu turut menegaskan bahawa Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak melibatkan persempadanan maritim di ZEE dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia. Dalam erti kata lain, Triti tersebut tidak melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat. Oleh yang demikian, dakwaan-dakwaan yang dibuat sesetengah pihak adalah tidak berasas.

“Kedua-dua pemimpin Malaysia dan Indonesia telah menugaskan pasukan rundingan pembatasan sempadan maritim masing-masing untuk memulakan rundingan secepat mungkin bagi sempadan-sempadan maritim yang belum dimuktamadkan tersebut.

“Perlu dijelaskan juga bahawa sepertimana garis sempadan maritim kawasan paling selatan Selat Melaka tidak melibatkan had Pelabuhan Tanjung Pelepas, garis sempadan yang ditetapkan di bawah sempadan separa laut wilayah Laut Sulawesi tidak melibatkan had Pelabuhan Tawau,” jelasnya.

Hal ini jelas KLN, sekali gus menangkis dakwaan dan persepsi salah mengenai kedua-dua triti itu sebelum ini walaupun sudah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa setiap perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang dimeterai baru-baru ini bersifat komprehensif dan menjaga hak serta kedaulatan maritim negara.

Anwar turut menjelaskan perjanjian yang dimeterai baru-baru ini dengan Indonesia tidak melibatkan kawasan yang masih dalam rundingan iaitu di Pulau Sebatik, Sabah dan garis sempadan Laut Sulewesi Selatan kerana ia masih dalam proses rundingan untuk dimuktamadkan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *