KUALA LUMPUR: Pasaran modal boleh memainkan peranan penting dengan memudahkan akses pembiayaan untuk menyokong pertumbuhan produk pelaburan berkaitan kemampanan.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata antara keutamaan SC ialah memastikan pasaran modal mampu menyalurkan dana serta modal ke arah mencapai sasaran kemampanan.
“Untuk berbuat demikian, pelabur dan pemberi pinjaman memerlukan maklumat yang lebih telus, setanding dan boleh dipercayai daripada syarikat mengenai perjalanan kemampanan mereka.
“Data dan maklumat ini akan membolehkan pelabur menilai risiko dan peluang sedemikian dengan lebih baik,” katanya dalam ucapan perasmian di Persidangan Maya Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) 2023, hari ini.
Menurut Awang Adek, Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) sedang membangunkan piawaian asas global untuk pendedahan kemampanan, yang dijangka siap bulan ini.
“Memandangkan kerumitan dan tahap kematangan pasaran yang berbeza dari segi amalan dan pelaporan kemampanan, adalah dijangka bahawa bidang kuasa akan diberi sedikit kelonggaran untuk menetapkan garis masa mereka sendiri untuk menerima pakai piawaian pendedahan ini,” katanya.
Daripada perspektif pasaran baharu muncul, beliau berkata syarikat senaraian awam Malaysia harus mendahului, memandangkan permulaan mereka dalam pelaporan kemampanan sejak 2015 kerana keperluan pelaporan kemampanan Bursa juga selaras dengan piawaian ISSB.
“Saya menyaran agar syarikat mengambil langkah segera untuk memenuhi keperluan maklumat pihak berkepentingan jika mereka belum berbuat demikian.
“SC dan Bursa akan menyediakan syarikat dengan sokongan yang diperlukan, termasuk program pembinaan kapasiti,” katanya.
Sementara itu, Awang Adek berkata Taksonomi SRI untuk pasaran modal Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, bertujuan memastikan penyeragaman dan kebolehbandingan SRI dan aset kemapanan.
“Kami percaya ini juga akan meningkatkan sinergi antara prinsip pelaburan Islam dan SRI.
“Contoh utama kewangan sosial ialah wakaf, iaitu wakaf atau amanah amal yang boleh digunakan untuk tujuan sosial seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembasmian kemiskinan.
“Berikutan peranannya dalam meningkatkan kebajikan masyarakat, saya ingin menggesa sektor swasta untuk mempertimbangkan struktur Islam ini dalam mempromosi dan memenuhi kewajipan sosialnya,” katanya.
Beliau menambah SC kini sedang mengusahakan prinsip panduan berdasarkan Maqasid al-Syariah (objektif atau tujuan di sebalik ketetapan Islam), merangkumi bidang seperti kewangan sosial, pelaburan impak, SRI serta dana Islam dan pengurusan kekayaan.
“Kami berharap ini akan menarik lebih banyak minat untuk kewangan sosial di Malaysia, serta lebih sejajar dengan prinsip Islam untuk mempromosikan hasil yang bermanfaat secara sosial dengan agenda kemampanan keseluruhan,” katanya.
Bertemakan “Revving Up the Race for Sustainability”, edisi keempat persidangan SRI itu diadakan dari 21-22 Jun, yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) iaitu cabang pembinaan kapasiti SC.
Persidangan itu menampilkan lebih daripada 30 pemimpin dan pakar industri tempatan dan antarabangsa, yang meliputi pelbagai topik-topik kemampanan seperti “Sustainability by Design’ dan ‘SRI Catalysing A Shared Value for Business and the Nation’.