NIMP 2023 bakal jadikan Malaysia negara industri berteknologi tinggi – Anwar

author
2 minutes, 8 seconds Read

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan pada 1 September ini tidak hanya akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital tetapi memberi peluang pekerjaan kepada anak muda.

Perdana Menteri berkata, pelan NIMP 2023 ini bukan seperti pelan perindustrian yang biasa.

“Bukan sepertimana pelan perindustrian biasa tetapi ia memberi tumpuan kepada anjakan supaya tidak memutuskan ke arah sesuatu sektor sahaja, tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Anwar yang juga Kenteri Kewangan berkata, transformasi digital ini bukan sahaja dapat mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul tetapi akan meningkatkan keupayaan kita.

Tambah beliau,  negara telah memperoleh kembali perhatian beberapa syarikat besar seperti Tesla Inc dari Amerika Syarikat, Geely dari China serta Infineon Technologies dari Jerman yang bersetuju menjadikan Malaysia pangkalan pelaburan penting.

Jelas Anwar, pelaburan ini sangat penting kerana kalau ia dapat diteruskan, Malaysia boleh memaknai kemerdekaan, dan setiap anak muda dijamin pekerjaan serta tidak menganggur. 

Bukan itu sahaja, beliau memberi jaminan meskipun dalam kekangan ekonomi sekarang kerajaan sedang merangka satu perubahan sistem upah atau gaji bagi penjawat awam. 

“Di sektor swasta kita perkenalkan satu kadar upah yg lebih progresif untuk memberi jaminan  supaya tidak kekal dgn gaji lama dan berbicara mengenai gaji minimum dalam keadaan industri itu melonjak naik. 

“Kita bawa pelaburan ratusan billion tetapi gaji pekerja masih di tahap 80-an 90-an dan ini tidak munasabah dan tidak mungkin itu dipertahankan,” katanya. 

Justeru katanya, negara ini harus bersatu merangka ekonomi Madani yang mampan dan harus dijamin keselesaan dan keadilan kepada semua rakyat

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan melaksanakan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sejurus selepas pelancaran NIMP 2030.

“Sekali lagi anjakan berlaku tidak hanya kajian yang menilai perencanaan awal, tetapi membuat pengubahsuaian dan anjakan supaya pembangunan kita mampan,” katanya.

Ujar beliau, Malaysia tidak boleh hanya dikenali dengan mercu tanda gagah samada bangunan tertinggi atau jambatan terpanjang sahaja tetapi harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat termasuk yang  tersisih dan terpinggir. 

Menerusi ucapan itu, beliau turut memberi jaminan pada Oktober ini semua sekolah di negara ini tanpa terkecuali akan mempunyai prasarana asas yang munasabah seperti tandas dan bumbung. 

“Bagi saya ini jauh lebih bermakna bagi jutaan ibubapa dan anak murid berbanding mercu tanda dan gedung-gadung yang hebat dan besar. Prasarana asas harus dipelihara dan menghargai sumbangan generasi terdahulu,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *