KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia melepasi aras RM1 trilion apabila mencecah RM1.06 trilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, namun 8.4% lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2023, import berkurangan sebanyak 8.9% kepada RM882.24 bilion manakala lebihan dagangan menyusut 5.7% kepada RM177.32 bilion.
“Perdagangan menyusut 8.6% kepada RM1.942 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan perangkaan perdagangan luar Malaysia.
MITI berkata, eksport Malaysia pada September 2023 meningkat 8.2% kepada RM124.47 bilion, berbanding Ogos 2023.
Ia berkata, import mengembang 2.1% kepada RM99.95 bilion, menghasilkan jumlah perdagangan yang bernilai RM224.43 bilion, naik sebanyak 5.4% berbanding bulan sebelumnya.
“Lebihan dagangan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 42.7 peratus kepada RM24.52 bilion, menjadi lebihan dagangan yang ke-41 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020,” katanya.
Berbanding prestasi setahun lalu, MITI berkata eksport September 2023 menyusut sebanyak 13.7% dan import berkurangan 11.1% berikutan permintaan global yang perlahan, ketidaktentuan harga komoditi dan kesan asas yang tinggi direkodkan tahun lalu.
Berikutan itu, katanya jumlah perdagangan telah menyusut sebanyak 12.6% , prestasi seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Korea Selatan, China, Taiwan dan Indonesia yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada bulan lalu serta penyusutan dalam import global.
“Lebihan dagangan pada September 2023 menyusut 23% , tahun ke tahun,” katanya.
Secara terkumpul, perdagangan bagi suku ketiga 2023 meningkat 1.6% kepada RM653.57 bilion berbanding suku kedua 2023.
Eksport mengembang 2.2% kepada RM356.31 bilion, import menokok 0.8% kepada RM297.26 bilion dan lebihan dagangan naik 9.6% kepada RM59.06 bilion.
Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada suku ketiga 2023 walau bagaimanapun masing-masing susut sebanyak 15.7%, 15.2% , 16.3% dan 9.1% , berbanding suku sama tahun lalu.
MITI berkata, pada September 2023, eksport barangan perkilangan yang mewakili 86.5% atau RM107.7 bilion daripada jumlah eksport menurun 11.8% tahun ke tahun berikutan penyusutan permintaan bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta kimia dan bahan kimia.
Walau bagaimanapun, ia berkata eksport barangan makanan diproses serta barangan kertas dan palpa mencatatkan pertumbuhan.
Katanya, eksport keluaran pertanian susut 23.1% kepada RM8.04 bilion berbanding September 2022 disebabkan oleh penyusutan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit kesan daripada penurunan ketara harga eksport minyak sawit.
“Eksport hasil galian mengurang 28% tahun ke tahun kepada RM7.98 bilion kesan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah,” katanya.