Ringgit tidak akan ditambat dengan dolar AS – Ahmad Maslan

author
1 minute, 21 seconds Read

KUALA LUMPUR: Ringgit tidak akan ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS) seperti pernah dilakukan suatu ketika dulu, jelas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, langkah menambat ringgit kepada dolar AS mempunyai risiko dan ‘trade off’ yang amat besar.

Katanya, prestasi ringgit dan mata wang serantau ini terus didorong faktor luaran seperti jangkaan Kadar Dana Persekutuan (FFR) di AS yang semakin memuncak iaitu 5.5 peratus berikutan langkah AS bagi mengawal kadar inflasi di ekonomi utama dunia itu.

Jelasnya, faktor kedua disebabkan ekonomi China lebih lemah daripada jangkaan serta pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat China, menyebabkan sentimen pelabur yang negatif terutamanya di rantau ini.

“Kebimbangan yang meningkat berhubung ketegangan geopolitik di Asia Barat juga menyumbang kepada nilai dolar AS semakin mengukuh.

“Langkah menambat ringgit kepada dolar AS mempunyai risiko dan ‘trade off’ yang amat besar.

“Ringgit tidak akan ditambat dengan dolar AS seperti suatu ketika dahulu,” katanya kepada BH pada satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada menambat ringgit langkah sesuai untuk Malaysia dalam menangani impak kelemahan ringgit yang berterusan berbanding dolar AS.

Ahmad berkata, faktor yang mempengaruhi prestasi ringgit berbanding dolar itu pada masa ini adalah di luar kawalan.

Beliau berkata, apa yang penting adalah kedudukan asas ekonomi negara perlu kukuh.

Ringgit terus melemah sebanyak 5.9 peratus sejak 31 Julai tahun ini, hampir mencecah paras terendah dalam sejarah RM4.80.

Walaupun mata wang serantau lain juga telah menyusut nilai, ringgit adalah berprestasi kedua terburuk selepas yen tahun ini, didorong oleh naratif agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) yang membayangkan bahawa satu lagi kenaikan kadar faedah mungkin berlaku.

Pada penutup Jumaat lalu ringgit RM4.7750/7800 berbanding RM4.7855/7885 yang dicatatkan pada Khamis.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *