PHOTO BERNAMA

Perjanjian langganan saham DNB dimeterai dalam masa terdekat – Fahmi

author
0 minutes, 58 seconds Read

KUALA LUMPUR: Perjanjian langganan saham (SSA) Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka dimeterai dalam tempoh terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, mesyuarat akan diadakan hari ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memutuskan beberapa perkara termasuk tarikh untuk memeterai SAA.

“Kita harap dalam tempoh terdekat kita akan adakan majlis menandatangani SSA. Saya harap dalam tempoh yang sangat dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini SAA itu di ‘Digital Transformation Leaders’ CxO Summit – Intelligent Digital Transformation in the 5G Era’, di sini, hari ini.

Acara dianjurkan secara bersama antara GSMA dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd telah bersetuju untuk mengambil pegangan ekuiti dalam DNB bagi menyokong pembangunan rangkaian 5G negara.

DNB telah ditubuhkan pada awal Mac 2021 untuk mempercepatkan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia dan DNB pada masa ini adalah pemegang tunggal spektrum 5G Malaysia.

Ia juga komited untuk mencapai 80 peratus liputan rangkaian 5G menjelang akhir 2023.

Setakat September 2023, liputan kawasan berpenduduk rangkaian 5G DNB mencapai 70.2 peratus dengan 5,873 kawasan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *