MRT Corp dalam proses pengambilan tanah bagi jajaran projek MRT3 secara berperingkat

author
1 minute, 47 seconds Read

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, (MRT Corp) sedang dalam proses pengambilan tanah bagi jajaran projek mega Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata pengambilan tanah itu sedang dilaksanakan secara berperingkat selama dua tahun untuk dimuktamadkan.

Beliau berkata, ia membabitkan pengambilan tanah daripada milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan persendirian.

Katanya, proses pengambilan tanah akan membabitkan 1,012 lot dengan sebahagian besar adalah tanah persendirian.

“Fokus MRT Corp ketika ini adalah pengambilan tanah dahulu sebelum memasuki fasa seterusnya.

“Mengenai proses tender MRT3 pula, ia bergantung kepada keputusan selanjutnya daripada kerajaan. Apabila kerajaan buat keputusan baru akan dilaksanakan proses tender,” katanya selepas majlis penjenamaan semula nama Stesen MRT TTDI Deloitte di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Turut hadir, Pengerusi Deloitte Southeast Asia, Philip Yuen dan Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng.

Kerajaan sebelum ini mengambil keputusan meneruskan MRT3 Laluan Lingkaran, laluan terakhir yang kritikal bagi melengkapkan rangkaian rel bandar Kuala Lumpur.

Jajarannya sepanjang 50.8 kilometer akan melingkari pinggiran bandar raya Kuala Lumpur.

Setelah siap, rangkaian transit akan menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Bagi meminimumkan kos pengambilan tanah kepada kerajaan, MRT Corp secara aktif akan bekerjasama dengan pemaju hartanah untuk menyepadukan stesen MRT3 ke dalam pembangunan masa depan.

Strategi itu direka untuk mewujudkan pengalaman dan suasana harmoni untuk komuniti.

Langkah itu juga selaras dengan prinsip rangka kerja MADANI yang memberikan tumpuan kepada pembangunan mampan dan inklusif untuk rakyat.

Sementara itu, Loke berkata, pihaknya menggesa pihak swasta untuk terus bersama dengan kerajaan dalam membantu mempromosikan sistem pengangkutan awam negara.

Beliau berkata, antaranya adalah bersama dengan MRT Corp dan Prasarana Malaysia Bhd bagi penjenamaan semula stesen MRT serta LRT.

Katanya, program ‘hak penamaaan’ terbuka untuk kerjasama dengan pihak swasta, sekali gus menjadi sati program yang baik untuk masa depan pengangkutan awam.

“Saya alu-alukan lebih banyak syarikat yang pejabat mereka berdekatan dengan stesen MRT untuk terbabit dalam program ‘hak penamanaan’.

“Ia satu program yang baik untuk kedua-dua pihak. Bagi pihak swasta, ia akan menjadi penjenamaan dan pemasaran jenama mereka.

“Bagi pihak kerajaan, ia dapat membantu pengurusan kos kerana pihak swasta yang terbabit bertanggungjawab dalam penyelenggaraan stesen berkenaan,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *