Total Dynamic dapat kelulusan ke Pasaran Leap Bursa Malaysia

author
1 minute, 24 seconds Read

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia sistem pengurusan logistik bersepadu, Total Dynamic Holdings Bhd menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) dengan cara pengenalan.

Total Dynamic dan anak syarikatnya terbabit dalam pembangunan dan penyediaan sistem pengurusan logistik bersepadu (ILMS) serta perkhidmatan berkaitan.

Syarikat ini menawarkan penyelesaian pengurusan armada yang dikenali sebagai “GPS TDT”, terdiri daripada satu set aplikasi perisian berasaskan awan untuk menjejak, memantau dan mengurus maklumat pergerakan kenderaan komersial dan pemandunya menggunakan teknologi sistem kedudukan global (GPS).

Total Dynamic juga menyediakan penyelesaian pengurusan logistik dan gudang yang dikenali sebagai ‘Dynamic Move’ kepada pelanggan yang kebanyakannya beroperasi dalam sektor pengangkutan dan logistik.

Pada masa ini, operasi ibu pejabat Total Dynamic dan sistem pemantauan pusat berpusat di Seremban, Negeri Sembilan, dengan lima pusat jualan dan perkhidmatan terletak di seluruh Malaysia iaitu di Butterworth, Klang, Chemor, Kuantan dan Skudai, selain rancangan untuk pusat jualan dan servis baharu di Melaka, Kota Kinabalu dan Alor Setar.

Pengerusi Eksekutif Total Dynamic, Alex Wong, berkata pihaknya amat berbesar hati menerima kelulusan daripada Bursa Securities untuk penyenaraian di Pasaran LEAP.

“Ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan korporat kami sambil kami membina syarikat teknologi yang semakin berkembang yang memfokuskan untuk menawarkan penyelesaian sistem pengurusan logistik bersepadu.

“Kami berjaya mengumpul RM5 juta hasil daripada pelaksanaan penempatan saham prapenyenaraian kepada pelabur swasta dan terbitan saham kepada pekerja.

“Ia akan digunakan untuk membiayai rancangan pengembangan perniagaan termasuk melabur dalam infrastruktur pelayan baharu untuk pusat data ganti kami serta pembukaan tiga pusat jualan dan perkhidmatan baharu di Melaka, Kota Kinabalu dan Alor Setar bagi memenuhi jangkaan pertumbuhan kami,” katanya.

WYNCORP Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat diluluskan dan penasihat berterusan untuk pelaksanaan penyenaraian berkenaan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *