BAHAGIAN 1

Pendedahan Kes

Penghujung tahun 2022, tular di sosial media isu mengenai pengambilalihan pengurusan Menara KL.

Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober 2022.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian dakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Pemindahan semua 10 juta saham MKLSB berlaku pada 31 Oktober ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Dakwaan berlaku atas arahan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu kepada Datuk Tan Ser Lay (Bekas Pengarah My Creative Venture) untuk berunding secara “direct nego” dengan Datuk Abdul Hamid Shaikh Razak, Pengarah Hydroshppe Sdn Bhd dalam pengambilan Menara KL.

SPRM Buka Kertas Siasatan

Dua pengarah kanan syarikat ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memulakan siasatan sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100% saham TM di dalam Syarikat Menara KL kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober 2022.

SPRM panggil tiga saksi serta mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan.

Pada 7 Januari 2023 – Dua pengarah kanan syarikat direman bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah iaitu Datuk Lay, Bekas Pengarah My Creative Venture agensi di bawah KKD dan Datuk Abdul Hamid Shaikh Razak, Pengarah Hydroshppe Sdn Bhd.

Hasil siasatan mendapati antara habuan ialah wang rasuah ratusan ribu ringgit dan seutas jam tangan mewah dikatakan sebagai hadiah kepada “orang atasan” untuk membantu pengambilalihan itu.

Beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital serta syarikat turut dirakam kenyataan.

Anuar Musa Nafi Terlibat Penjualan Menara KL

Tan Sri Annuar Musa ketika itu sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia didakwa memberi kelulusan tender pengambilalihan anak syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi menguruskan Menara KL.

Bagaimanapun beliau nafi dakwaan tersebut dan memberitahu tidak campur tangan tender meskipun dia adalah menteri ketika itu.

Anuar beritahu kuasa meluluskan tender tertakluk dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS) pada ketika itu di bawah Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Dua invidu yang direman dan didakwa berkaitan kes ini dikatakan kroni kepada kepada Annuar Musa – Datuk Abdul Hamid Shaikh Razak Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd dan Datuk Tan Ser Lay bekas Pengarah My Creative Venture agensi di bawah KKD.

Annuar Musa selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu bermakna penjualan saham Menara KL dilakukan secara dalaman dan senyap olehnya dan Group MD TM tanpa kelulusan UKAS.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pendakwaan ke atas Annuar Musa.

Telekom Malaysia (TM) Jawab Isu Penjualan Menara KL

Telekom Malaysia (TM) menerusi Bursa Malaysia memberi penjelasan bahawa penjualan Menara KL telah dimaklumkan oleh TM sebelum ini.

Dalam laporan audit suku ketiga (Q3) 2022, TM menyatakan mereka telah menjual sepenuhnya pegangan saham MKLSB pada harga RM3.8 juta dan urusan ini telah selesai pada 31 Oktober 2022.

Penjualan ini dibuat kerana TM mahu memberi fokus dalam perniagaan utama mereka iaitu telekomunikasi dan teknologi.

TM telah memaklumkan kerajaan Malaysia selaku pemilik Menara KL, untuk tidak lagi menyambung kontrak konsesi pengurusan Menara KL.

TM dalam kenyataan tidak menjelaskan kenapa Hydroshoppe dipilih. Ia memaklumkan perkara itu diluar bidang pengetahuan TM.

Pendakwaan

Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Didakwa

  • Pada 5 April 2023 – Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
  • Dia dituduh menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
  • Abdul Hamid Shaikh, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
  • Suapan dilakukan melalui Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar Musa mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.
  • Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
  • Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
  • Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
  • Tertuduh diikat jamin RM50,000. Pasport diarah diserahkan kepada mahkamah.

Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd Didakwa

  • Pada 5 April 2023 – Hydroshoppe didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama.
  • Pendakwaan dibuat di bawah seksyen 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta yang sama.
  • Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat dan pada tarikh yang sama.
  • Sabit kesalahan, Hydroshoppe boleh denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Hydroshoppe Gagal Batal Tuduhan

  • Pada 8 Ogos 2023 – Abdul Hamid Shaikh gagal batal bantahan tuduhan menawarkan rasuah RM7.5 juta.
  • Pada 12 September 2023 – mahkamah menetapkan bagi penyerahan dokumen, jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan.
  • Pada 24 Februari 2024 – mahkamah membenarkan tertuduh mendapatkan semula passport miliknya untuk membolehkan beliau membuat lawatan perniagaan ke Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.
  • Tertuduh diarah pulangkan passport selewat-lewatnya 21 Mac 2024.

Syarikat Hydroshoppe Bermasalah, Siapa Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak?

Datuk Abdul Hamid Shaikh Razak, Pengarah Hydroshppe Sdn Bhd.

Datuk Abdul Hamid dan Nazarina Mohammed Nasir merupakan individu-individu yang memegang saham tertinggi dalam syarikat Hydroshoppe, yang dikaitkan dengan penipuan perniagaan.

Laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), perniagaan utama syarikat Hydroshoppe ini bukanlah berasaskan urusan hartanah, akan tetapi menjalankan perniagaan kosmetik dan kecantikan.

Syarikat Hydroshoppe merupakan syarikat yang hampir dinyahsenaraikan dari SSM kerana gagal membuat pengisytiharan dan pemfailan ditetapkan SSM.

Syarikat ini didakwa bermasalah sejak tahun 2016 malah tiada penyata audit kewangan syarikat sejak ditubuhkan dalam erti kata lain syarikat ini adalah syarikat tidak aktif.

Syarikat Hydirshoppe hanyalah syarikat ‘dummy’ yang digunakan untuk tujuan perniagaan gelap bagi sesetengah businessman. Bukan setakat Hydroshoppe, beberapa syarikat seperti OpenApps, Emerald Epitome juga didaftarkan atas nama Datuk Abdul Hamid.

Siapa Datuk (Marcus) Tan Ser Lay Dan Apa Hubungkait Beliau Dengan Tan Sri Annuar Musa?

Datuk Tan Ser Lay atau Datuk Marcus Tan Ser Lay pemberi jam mewah dan didakwa sebagai kroni tegar Tan Sri Annuar Musa di beberapa kementerian

Datuk Tan Ser Lay merupakan Board of Director MyCreative Ventures syarikat milik penuh Kementerian Kewangan di bawah seliaan K-KOM (ketika itu) dan “orang tengah” dalam mengurus tender Kementerian.

Beliau dilantik oleh Annuar Musa dalam MyCreative Ventures sebagai pengarah bebas dan memainkan peranan dalam memberi tender Kementerian K-KOM kepada 4 syarikat digital AI bagi projek bekalan tablet/peranti Keluarga Malaysia bernilai sekitar RM450,000,000 (SNS Network).

Mengikut perolehan rasmi Kementerian Kewangan, 4 syarikat yang mendapat tender PerantiSiswa tersebut ialah antaranya SNS Network Sdn. Bhd.

Syarikat itu juga dianugerahkan untuk projek Pengaktifan Digital AgTech (MDEC), digital hibrid di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan.

Selain itu, syarikat milik penuh Datuk Tan Ser Lay iaitu Pan Sejati Development Sdn. juga dianugerahkan secara “rundingan terus” bersama Vizione Holdings bagi pembinaan Residensi Prihatin bernilai RM500 juta ketika Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Apa yang lebih mengejutkan, laporan International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat mendedahkan bahawa syarikat milik Tan Ser Lay (Callias International Ltd.) tersenarai dalam evidence of Panama Papers.

Syarikat Baharu Kendalikan Menara KL

Tan Sri Lim Kang Hoo (Ekovest) dan Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng

Menara KL kini diuruskan oleh anak syarikat Lim Seong Hai Capital (“LSH Capital”) LSH Best Builders Sdn. Bhd. Dan Service Master (M) Sdn Bhd (Selenggara) bagi konsesi Baharu selama 20 tahun.

Pemilihan syarikat terbabit dibuat selepas saringan dilakukan terhadap lima pembida yang mengemuka tender melalui Proses Permintaan Untuk Cadangan.

Syarikat usahasama itu dipilih oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan pihak kerajaan dan telah memenuhi syarat ditetapkan.

LSH Best Builders mempunyai modal berbayar RM1 juta dengan pendapatan tahunan lebih RM200 juta setahun dengan keuntungan lebih RM25 juta setahun menunjukkan kewangan syarikat ini sangat kukuh.

LSH Capital dikuasai oleh Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng CEO Knusford Berhad dan Pengarah Urusan Ekovest Berhad.

Apa Status Kes Penjualan Saham Dan Pengambialihan Menara KL Sehingga Kini?