Kronologi Skandal Rasuah Spanco

BAHAGIAN 1

Selama beberapa dekad, syarikat pengurusan armada kenderaan Spanco Sdn Bhd memegang kontrak lumayan untuk menjadi pembekal eksklusif kenderaan untuk kerajaan persekutuan.

Spanco Sdn Bhd (Spanco) ditubuhkan pada tahun 1988 merupakan syarikat penyedia dan pengurusan kenderaan kerajaan daripada kereta rasmi untuk anggota kabinet, kereta untuk kumpulan motor jabatan kerajaan, dan juga kereta peronda polis.

Pada 1993, Spanco diberikan perjanjian konsesi selama 25 tahun dengan kerajaan, yang membolehkan syarikat itu menyediakan dan menyewakan kereta dengan perkhidmatan penyelenggaraan penuh untuk kerajaan.

Ia bertanggungjawab untuk memperoleh kenderaan dan menggantikannya setiap empat atau lima tahun, penyelenggaraan dan pembaikan (termasuk kerosakan dan kecemasan), dan berurusan dengan cukai jalan, insurans dan rekod saman.

Disember 2018 – Perjanjian Spanco dengan kerajaan tamat.

Siapa Pemilik Spanco?

Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat berdasarkan pemfailan yang dibuat pada September 2023, pemegang saham Spanco ialah Jati Rata Sdn Bhd (46%), Robert Tan (24.65%), anaknya Tan Han Chuan (14.67%) dan Tan Ching Ching (9.68%), dan Minhat Mion.

Syarikat induk Jati Rata dimiliki oleh Cayaria Sdn Bhd (45%), Mohtar Abdullah (27.5%), dan Shahrin Osman (27.5%) – berdasarkan dokumen yang difailkan pada Februari tahun ini.

Azman Idris, Peter Lim, Md Raus Sharif (Bekas Ketua Hakim Negara), Shahrin, Robert Tan Hua Choon, disenaraikan sebagai pengarah Spanco.

Rekod itu menyatakan bahawa Spanco telah diperbadankan pada 16 Ogos 1988 dan tidak pernah mengalami pertukaran nama, meski artikel New Straits Times dari April 1998 merujuknya sebagai “Sistem Pengurusan Angkutan Nasional Company Sdn Bhd”.

Kerajaan Buka Tender Baharu

2019 – Kerajaan membuka tender kepada syarikat-syarikat untuk konsesi membekal dan mengurus kenderaan kerajaan untuk tempoh 15 tahun akan datang. Pada tahun yang sama, Berjaya Group dan Naza membentuk konsortium untuk membida kontrak yang menguntungkan tersebut.

Pemohon untuk kontrak baru itu juga termasuk, perkongsian antara DRB-Hicom Bhd dan Sime Darby Bhd, Samling Group, Comos dan Go Auto.

2020 – Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa ia telah memilih konsesi baru untuk mengurus kenderaan kerajaan, tetapi tidak menyebutkan nama syarikat tersebut.

2021 – Spanco akhirnya memenangi kontrak itu.

Vincent Tan Fail Saman Terhadap Spanco dan Kerajaan

17 Julai 2023 – Bagaimanapun Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan membawa Spanco dan kerajaan ke mahkamah dengan mendakwa peraturan tender tidak dipatuhi.

Vincent Tan, memfailkan saman terhadap kerajaan dan Spanco berhubung konsensi pengurusan kenderaan bernilai jutaan ringgit.

Dia mendakwa konsortium Berjaya-Naza Cekap Urus Sdn Bhd pada mulanya dianugerahkan kontrak itu dan telah dikeluarkan surat hasrat (LOI) oleh Kementerian Kewangan pada 2018 kerana ia merupakan pemohon terendah.

Konsortium itu dilaporkan dimiliki 51% oleh Berjaya, 29% dimiliki oleh Naza, dan 20% dimiliki oleh Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Ibrahim – Puteri kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Bagaimanapun, LOI itu dibatalkan selepas kerajaan bertukar danTan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri berikutan peristiwa Langkah Sheraton.

Vincent Tan mendakwa tender diberikan kepada Spanco sedangkan tender mereka RM700 juta lebih murah daripada yang sebelumnya.

SPRM Siasat Dakwaan Rasuah Melibatkan Spanco

Januari 2024 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan yang bergelar Tan Sri berhubung dakwaan rasuah melibatkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Pihak SPRM juga menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan.

Lebih 100 akaun peribadi dan syarikat di bawah kawalan syarikat-syarikat tersebut juga dilaporkan diperoleh oleh SPRM untuk siasatan lanjut. Walau bagaimanapun, tiada pembekuan akaun dikenakan.

31 Januari 2024 – SPRM beku akaun Pengerusi Spanco Sdn Bhd (Spanco), Tan Sri Robert Tan Hua Choon.

5 Februari 2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengesan ketidakaturan dalam kontrak yang membahayakan negara dan merugikan penjawat awam.

6 Februari 2024 – Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata mereka yang terlibat dalam keputusan untuk menganugerahkan kontrak bekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada Spanco akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Beliau berkata mereka akan melihat sejarah syarikat semasa penubuhannya antara tahun 1998 atau 1999 dan sesiapa yang terlibat dalam tempoh itu, termasuk perdana menteri dan menteri kewangan, untuk merekodkan kenyataan mereka.

Azam berkata isu ini dilaporkan kepada SPRM berikutan pertikaian selepas pembatalan kontrak melibatkan satu syarikat dan bagaimana Spanco secara konsisten dianugerahkan kontrak sejak tahun 1990-an.

22 Februari 2024 – Kenyataan bekas Menteri Kewangan membabitkan kes kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco) telah diambil oleh SPRM.

25 Februari 2024 – SPRM akan panggil Muhyiddin jika ada keperluan siasatan kes Spanco – SPRM nafi tuduh Muhyiddin terbabit kontrak Spanco

Tan Sri Muhyiddin Yassin Nafi Terlibat

24 Februari 2024 – Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan terlibat dalam salah laku berkaitan pemberian kontrak bekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Muhyiddin menyifatkan dakwaan itu sebahagian siri ‘pembunuhan watak’ dibuat oleh musuh politik untuk menjejaskan reputasinya.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan sebab surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan.

“Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada SPANCO.

“Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terbabit dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

– Muhyiddin

Kerajaan Sahkan Kontrak Pengurusan Kenderaan Kerajaan Diberi Kepada Spanco

19 Mac 2024 – Kerajaan mengesahkan kontrak berterusan dengan Spanco untuk pengurusan dan pembekalan kenderaan mereka. Kementerian Kewangan, dalam jawapan bertulis di Parlimen, berkata kerajaan sentiasa memastikan kontrak perolehan dengan Spanco untuk membekal, menyelenggara, dan menguruskan armada kenderaan kerajaan dilaksanakan mengikut keperluan, mematuhi prosedur perolehan, dan mengikuti segala ketelitian yang diperlukan.

Pertuduhan Terhadap Robert Tan

3 April 2024 – Pengerusi Spanco, Tan Sri Tan Hua Choon, didakwa di Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan – kerana menipu jawatankuasa tender Kementerian Kewangan untuk menganugerahkan Spanco kontrak bernilai RM3,966,386,628 melalui Unit Perkongsian Awam-Swasta untuk tender bertajuk “Permintaan Untuk Cadangan Bekalan, Pembaikan, Penyelenggaraan dan Pengurusan Armada Kenderaan Kerajaan Malaysia.

Dia didakwa telah menipu kerajaan dengan mendakwa dalam dokumen tender bahawa sekurang-kurangnya 30% saham Spanco adalah milik Bumiputera. Ini dikatakan berlaku antara 27 Feb dan 28 Feb 2019, iaitu bilik tender Kementerian Kewangan.

Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat, dan denda.

Bagaimanapun, Robert Tan nafi tuduhan terbabit dan minta dibicarakan.

Coelho

Related Posts

Skandal Penjualan Saham dan Pengambilalihan Pengurusan Menara KL, Apa Status Kes?

BAHAGIAN 1 Pendedahan Kes Penghujung tahun 2022, tular di sosial media isu mengenai pengambilalihan pengurusan Menara KL. Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

Tupperware Dijangka Fail Bankrap Minggu Ini

  • September 18, 2024
Tupperware Dijangka Fail Bankrap Minggu Ini

Polis Beku 96 Akaun Milik GISBH Dengan Nilai Lebih RM581,000

  • September 18, 2024
Polis Beku 96 Akaun Milik GISBH Dengan Nilai Lebih RM581,000

Pengembangan Airbus Di Malaysia Buka Peluang Kepada Syarikat Tempatan

  • September 18, 2024
Pengembangan Airbus Di Malaysia Buka Peluang Kepada Syarikat Tempatan

Dua Anak Tun M Sudah Isytihar Harta Kepada SPRM

  • September 18, 2024
Dua Anak Tun M Sudah Isytihar Harta Kepada SPRM

Ahli GISB Holding Mengaku Tak Salah Ugut Wanita

  • September 18, 2024
Ahli GISB Holding Mengaku Tak Salah Ugut Wanita

YAPIEM Anjur ‘Forum Serantau YAPEIM 2024’ Pada 1 Dan 2 Oktober Depan

  • September 13, 2024
YAPIEM Anjur ‘Forum Serantau YAPEIM 2024’  Pada 1 Dan 2 Oktober Depan