Mahmud Abu Bakar dedah punca saman ke atas Cahya Mata Sarawak

KUALA LUMPUR: Pertikaian antara Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) dan timbalan pengerusinya, Mahmud Abu Bekir Taib, berhubung kewangan syarikat tambah rumit apabila beliau menyangkal dakwaan CMSB berhubung permintaannya untuk memeriksa rekod kewangan syarikat itu.

Mahmud Abu Bekir menyifatkan penegasan syarikat itu bahawa beliau telah dimaklumkan dengan sewajarnya bahawa tarikh alternatif akan ditetapkan untuk pemeriksaan akaun kewangan syarikat sebagai ‘mengelirukan dan tidak tepat’.

Mahmud Abu Bekir, yang juga pengarah CMSB berkata, beliau mula-mula membuat permintaan rasmi untuk mendapatkan maklumat akaun syarikat itu melalui e-mel kepada ketua pegawai kewangannya pada 19 Februari 2025.

Selepas gagal menerima maklum balas, beliau menyusulinya dengan e-mel kedua pada hari berikutnya, tetapi pihak syarikat terus berdiam diri dan gagal meminta lanjutan masa, memaksa Mahmud Abu Bekir untuk melanjutkan perkara itu kepada setiausaha syarikat secara bertulis pada 27 Februari 2025.

Hanya keesokan harinya barulah beliau mendapat respons daripada pengerusi kumpulan CMSB Mohd Zahidi Zainuddin.

“(Beliau) mengesahkan, sebagai pengarah, Mahmud (Abu Bekir) berhak secara sah bawah Akta Syarikat 2016 untuk memeriksa rekodnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Mohd Zahidi turut menyatakan bahawa hak itu bukanlah mutlak, tetapi tertakluk pada peruntukan perlembagaan syarikat.

Sebaliknya, Mahmud Abu Bekir berhujah, Perkara 160 dalam perlembagaan syarikat, serta Seksyen 245(4) Akta Syarikat memberi pengarah ‘hak tidak terikat’ untuk memeriksa rekod dan akaunnya.

Beliau turut menegaskan, sebagai pengarah syarikat induk, beliau berhak mengawasi dan mendapat akses kepada kewangan anak-anak syarikatnya.

Katanya, keengganan CMSB memberikan dokumen kewangan yang dimintanya serta kegagalan untuk meminta lanjutan masa menyebabkan beliau tiada pilihan selain memfailkan saman pemula pada 6 Mac ‘untuk memperoleh rekod kewangan yang diperlukan’.

“Cadangan bahawa saya memberikan notis yang tidak mencukupi untuk syarikat menzahirkan rekod kewangan bukan sahaja mengelirukan tetapi tidak tepat sama sekali.

“Selepas usaha berulang kali di pihak saya tidak diendahkan, saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Mahmud Abu Bekir memohon perintah mahkamah untuk memaksa CMSB dan anak syarikatnya – Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd; Cahya Mata Cement Sdn Bhd; Oiltools International Sdn Bhd; Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd; dan Cahya Mata Professionals Sdn Bhd – menzahirkan semua rekod akaun dan kewangan untuk diperiksa dalam tempoh tujuh hari.

Beliau juga mahu juruaudit, akauntan, atau peguam yang dilantik diberikan salinan rekod tersebut ‘untuk memastikan semakan yang bebas dan menyeluruh’.

Mahmud Abu Bekir berkata, beliau merancang membangkitkan isu ini pada mesyuarat lembaga CMSB pada 7 Mac tetapi tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat itu.

Beliau mendakwa, ini melanggar haknya sebagai pengarah dan merupakan pelanggaran peraturan tadbir urus korporat.

“Saya tetap teguh dalam tugas saya untuk bertindak demi kepentingan terbaik semua pihak berkepentingan, memastikan Cahya Mata beroperasi dengan standard ketelusan dan akauntabiliti tertinggi,” tambah Mahmud Abu Bekir.

Coelho

Related Posts

Shahriman mengaku tidak ambil tindakan walau tidak setuju dengan pembiayaan Menara Sapura

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Pengarah Sapura Holdings Sdn Bhd, Shahriman Shamsuddin hari ini mengakui di Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mengambil sebarang tindakan bagi melaksanakan haknya dalam isu…

Leon Fuat Lulus Semua Resolusi AGM, Umum Dividen Akhir 1.0 Sen Sesaham

SHAH ALAM, 13 Jun — Leon Fuat Berhad meluluskan semua resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-18 hari ini, termasuk pengisytiharan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.0 sen sesaham bagi…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

Jabatan kerajaan henti guna barangan import dalam acara rasmi – PM Anwar

  • June 20, 2025
Jabatan kerajaan henti guna barangan import dalam acara rasmi – PM Anwar

SDB saman EY RM1.97 bilion atas dakwaan cuai dalam kerja audit

  • June 20, 2025
SDB saman EY RM1.97 bilion atas dakwaan cuai dalam kerja audit

Kerajaan Salur RM30 Juta Bantu Media Tanggani AI dan Transformasi Digital

  • June 14, 2025
Kerajaan Salur RM30 Juta Bantu Media Tanggani AI dan Transformasi Digital

Shahriman mengaku tidak ambil tindakan walau tidak setuju dengan pembiayaan Menara Sapura

  • June 14, 2025
Shahriman mengaku tidak ambil tindakan walau tidak setuju dengan pembiayaan Menara Sapura