MOSCOW – Russia berdepan situasi kehabisan dana menjelang tahun depan sekiranya negara itu terus dikenakan sekatan meluas oleh Barat atau tiada pengaliran masuk pelaburan asing, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Amaran itu dikeluarkan seorang taikun tenaga dan logam yang pernah menjadi individu terkaya Russia, Oleg Deripaska dalam satu persidangan ekonomi di Siberia, Khamis lalu.
“Russia akan kehabisan wang pada tahun depan, kita memerlukan pelabur luar,” katanya.
Menurut bilionair tersebut, dana-dana milik Moscow kini semakin berkurang ekoran sekatan oleh Barat terhadap Russia disebabkan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Tambahnya, negara itu mengalami tekanan serius daripada sekatan tersebut yang menyebabkan Russia dan perniagaan-perniagaannya perlu mencari peluang di negara-negara lain untuk mendapatkan sumber pelaburan.
Pendedahan Deripaska itu bertentangan dengan pengumuman Presiden Vladimir Putin minggu lalu, di mana pemimpin berkenaan memuji daya tahan ekonomi Russia dalam menghadapi sekatan Barat sejak tahun lalu.
Output ekonomi Russia menguncup 2.1 peratus bagi 2022, demikian menurut anggaran awal kerajaan.
Namun, masalah yang timbul mula kelihatan sekarang apabila Russia mengurangkan pengeluaran minyak bulan ini selain Barat akan meningkatkan sekatan ke atas Moscow.
Menurut Deripaska, pelabur luar terumanya dari negara-negara yang disifatkan mempunyai hubungan baik dengan Moscow mempunyai peranan besar dalam keadaan itu.
“Sama ada mereka (pelabur luar) akan datang ke sini adalah bergantung kepada keadaan sama ada Russia boleh mewujudkan syarat-syarat terbaik dan menjadikan pasarannya menarik,” jelas Deripaska.
Dalam usaha untuk terus ‘menekan’ dana-dana milik Russia disebabkan perang Ukraine, negara-negara Barat telah mengumumkan lebih 11,300 sekatan sejak pencerobohan berlaku pada Februari 2022.
Ia selain itu turut membekukan kira-kira AS$300 bilion (RM1.3 trilion) rizab luar Moscow.
Namun, sekutu baik Moscow, China telah memberikan ‘talian hayat’ kepada Kremlin dengan membeli tenaga Russia, menggantikan pembekal jentera dan asas logam Barat antaranya, serta menyediakan alternatif kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Moscow masih perlu bekerja keras bagi menggantikan pendapatan yang hilang akibat sekatan yang dikenakan.
Pendapatan kerajaan Russia dilaporkan menyusut 35 peratus pada Januari lepas berbanding tempoh sama tahun lalu manakala perbelanjaan melonjak 59 peratus, sekali gus mendorong kepada defisit bajet kira-kira AS$23.3 bilion (RM104 bilion).
Data dikeluarkan kelmarin menunjukkan import Kesatuan Eropah (EU) dari Russia merudum 51 peratus dari segi nilai antara Februari hingga Disember tahun lalu.
Blok itu sebelum ini merupakan satu daripada rakan dagangan utama Moscow sebelum ia menyerang Ukraine dengan 38 peratus daripada eksport Russia disalurkan ke EU pada 2020. – Agensi