Malaysia berpeluang jadi hab pengeluaran serantau Tesla

author
2 minutes, 51 seconds Read

KUALA LUMPUR: Malaysia kini menyertai persaingan dengan Indonesia dan Thailand untuk dipilih sebagai lokasi hab pengeluaran serantau pertama gergasi kereta elektrik (EV) terkemuka dunia, Tesla.

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry, berkata Malaysia memiliki rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E) yang teguh ditambah dengan pendapatan perkapita jauh lebih tinggi berbanding dua pesaing utama itu, yang boleh memacu penggunaan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) secara relatif lebih pantas.

Beliau berkata, walaupun populasi Malaysia secara relatifnya lebih kecil, hakikatnya negara ini adalah pasaran kereta ketiga terbesar di rantau Asia Tenggara.

Katanya, persaingan terbesar jelas hadir daripada Indonesia yang mempunyai kelebihan rizab nikel yang besar dan pendekatan yang agresif untuk menarik pelaburan dalam pembuatan bateri, serta populasi dan jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih besar.

“Dengan sedikit jumlah jualan yang dijana daripada BEV secara amnya, sukar untuk membayangkan Tesla untuk mewujudkan berbilang kilang pengeluaran dalam satu rantau, sekurang-kurangnya dalam jangka masa terdekat.

“Hakikat bahawa mereka memilih kita sebagai antara negara ASEAN bagi mewujudkan saluran pengedaran rasminya menunjukkan Malaysia berada dalam senarai negara pilihan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Hafriz berkata, walaupun terlalu awal untuk memberi bayangan berhubung kelebihan pelaburan Tesla, namun terdapat beberapa manfaat yang berpotensi berikutan kemasukan gergasi EV itu ke Malaysia.

“Pemasangan rangkaian pengecas super Tesla akan menyumbang kepada sasaran kerajaan untuk mewujudkan 10,000 pusat pengecasan di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Karbon (LCMB) berbanding hanya 900 unit ketika ini.

“Penubuhan rangkaian perkhidmatan selepas jualan Tesla dan pelbagai pemindahan pengetahuan, pembabitan kontraktor tempatan serta keperluan tenaga kerja tempatan boleh mendorong peningkatan kemahiran tenaga buruh dan korporat tempatan sebagai persediaan untuk peralihan kepada BEV.

“Ketika ini, tidak jelas sama ada kemasukan Tesla akhirnya akan berubah menjadi pemasangan tempatan atau penyumberan komponen EV tempatan, tetapi ini boleh memberikan rangsangan kritikal kepada rantaian bekalan auto domestik sekiranya ia menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi tempoh dua tahun pertama, Tesla dijangka memberi tumpuan kepada ujian pasaran dan pembangunan rangkaian pengecasan EV sebelum ia memutuskan pilihan hab pembuatan serantaunya.

Baru-baru ini, Tesla menubuhkan Tesla Thailand (untuk pengedaran) sebagai sebahagian daripada langkah pengembangannya di ASEAN dengan stesen pengecas super pertama dilancarkan dua hari lalu.

Thailand memulakan program subsidi EV akhir tahun lalu yang menggabungkan insentif cukai termasuk pengurangan eksais, import dan cukai jalan.

Sementara itu, Indonesia bertindak agresif dalam percubaan untuk menarik pelaburan Tesla ke negara berkenaan termasuk menawarkan konsesi untuk melombong nikel iaitu bahan utama dalam sel bateri lithium-ion.

Indonesia memiliki rizab nikel terbesar di dunia dengan penguasaan global sehingga 25 peratus.

Insentif lain yang ditawarkan oleh Indonesia termasuk pengecualian cukai dan skim subsidi untuk pembelian EV bagi membina pasaran untuk Tesla di negara itu.

Satu-satunya kemudahan pembuatan Asia milik Tesla terletak di Shanghai, China yang menghasilkan Model 3 dan Model Y.

Ketika ini, pasaran EV Malaysia dikuasai oleh dua peserta iaitu Mercedes dan BMW, diikuti Volvo, Mini, Lexus dan Porsche.

Sementara itu, Penganalisis Maybank Investment Bank, Liaw Thong Jung berkata, walaupun kemasukan Tesla ke Malaysia memberi manfaat positif jangka pendek, negara perlu merangka agenda jangka panjang yang mampan untuk membangunkan ekosistem e-mobiliti.

“Keupayaan untuk mendapatkan pelaburan daripada Tesla bagi menubuhkan kemudahan pemasangan tempatan (CKD) akan menjadi bukti kepada program yang dirangka kerajaan.

“Pada masa ini, terdapat enam kilang CKD milik Tesla iaitu di Nevada, New York, Texas, China, Jerman dan Mexico tidak lama lagi.

“Jelas bahawa struktur insentif tersuai akan menyaksikan lebih ramai peserta BEV yang berpotensi terutama dari China seperti Nio dan X-Peng untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai hab CKD BEV pilihan mereka di rantau ini,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *