Beng Seng, Sime Darby Motor dahului bidaan edar Ferrari di Malaysia

author
1 minute, 44 seconds Read

KUALA LUMPUR: Hartawan yang juga ahli perniagaan Malaysia berpangkalan di Singapura dan cabang automotif Sime Darby Bhd dikatakan sedang mendahului bidaan untuk menjadi pengedar baharu Ferrari di Malaysia.

Ia selepas pengeluar kereta sport mewah Itali itu menamatkan perkongsiannya dengan Naza Italia Sdn Bhd baru-baru ini.

Menurut sumber industri, ahli perniagaan kelahiran Ipoh, Ong Beng Seng mempunyai kelebihan berbanding kebanyakan pembida lain memandangkan syarikatnya iaitu Ital Auto sudah menjadi pengimport Ferrari di Singapura sejak 2009.

Selain itu, difahamkan, Beng Seng juga mendapat sokongan padu daripada tokoh perhotelan Malaysia yang juga pemilik Hotel Concorde Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir.

Beliau juga adalah pemilik syarikat produk konsert, Jojo Entertainment sebelumnya membawa masuk legenda seperti Michael Jackson, Eric Clapton dan Gypsy Kings ke Malaysia.

Ital Auto dimiliki Beng Seng pula adalah sebahagian daripada kumpulan Komoco iaitu memiliki hak pelbagai francais pengedaran automotif.

Beliau juga mencipta kekayaan menerusi urus niaga hartanah dan perhotelan, serta dipuji kerana membawa perlumbaan F1 ke Singapura.

Komoco mengendalikan jenama automotif seperti Hyundai dan Maserati di republik itu.

Selain Beng Seng, beberapa nama lain juga tersebar dalam membuat bidaan termasuk dua syarikat Malaysia selepas Naza Italia bakal kehilangan hak import dan pengedarannya untuk Ferrari.

Mereka ialah Sime Darby Motors, yang mengedar Ferrari di Australia dan Berjaya Group, yang juga antara pengedar jenama supercar terbesar di dunia termasuk Ferrari, Rolls Royce dan Bugatti melalui cabang peruncitan automotif HR Owen di UK.

Walaupun Berjaya Group boleh menjadi pesaing yang rapat, namun sumber berkata, Sime Darby Motors juga memiliki potensi besar.

“Sime Darby sudah mempunyai beberapa jenama mewah terutamanya Porsche di Malaysia.

“Dengan Porsche di bawah edarannya, ia memberi mereka peluang untuk membawa Ferrari terutamanya, selain daripada mempamerkan prestasi baik dalam edaran satu lagi jenama premium BMW,” kata sumber itu.

Beliau menambah bahawa Sime Darby Motors juga mencatat sejarah sebelumnya dengan penubuhan kemudahan pemasangan pertama untuk kenderaan Porsche di luar Eropah iaitu kemudahan pengeluaran Sime Darby di Kulim, Kedah.

Rabu lalu, Ferrari SpA mengesahkan penamatan kontrak pengedaran dengan Naza Italia berkuat kuasa 8 April tahun ini.

Jurucakap Ferrari, dilaporkan berkata keputusan itu mencerminkan keinginan untuk menyegarkan perwakilan jenama di Malaysia.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *