Malaysia raih potensi pelaburan RM24 bilion dari Korea Selatan – MIDA

Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Korea Selatan baru-baru ini, berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM24 bilion bagi Malaysia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata misi diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 14-17 Mac lepas, turut disertai oleh pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya selain wakil dari koridor pembangunan wilayah serta syarikat Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, MIDA berkata program TIM itu dimulakan dengan penganjuran seminar bertajuk ‘Malaysia: Your Profit Centre in Asia’ (Malaysia : Pusat Keuntungan Anda di Asia) yang menarik penyertaan lebih daripada 250 pemimpin perniagaan terkemuka Korea Selatan dan Malaysia.

Matlamat utama misi tersebut adalah bagi menarik pelaburan pelbagai sektor termasuk elektrik dan elektronik (E&E), alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), teknologi pengangkutan, logam, hidrogen serta kimia dan produk kimia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman menyifatkan pencapaian misi tersebut sebagai membanggakan selain membuktikan komitmen kukuh Malaysia bagi menarik pelaburan peringkat tinggi selain meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global.

“Perkongsian strategik Malaysia dan Korea Selatan telah terjalin menerusi Dasar Pandang Ke Timur sejak lebih empat dekad lepas. Malah, hasil daripada kerjasama ini juga, Korea Selatan telah muncul sebagai antara 10 pelabur utama bagi Malaysia.

“Kita juga teruja untuk mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari negara itu. Tumpuannya adalah bidang pertumbuhan baharu seperti industri berteknologi tinggi, industri berasaskan inovasi, pengetahuan dan berintensifkan kemahiran yang dapat menjana peluang besar bagi agenda mampan serta hijau yang disokong oleh kedua-dua negara,” katanya.

Arham berkata kerajaan Malaysia turut mengutamakan aktiviti pembuatan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan ekosistem yang berpotensi besar dari segi ekonomi serta pertumbuhan mampan jangka panjang.

Menurut MIDA, antara syarikat yang menyatakan hasrat untuk melabur di Malaysia ialah SKC, POSCO Holdings, Coway dan LOTTE Fine Chemical.

SKC misalnya meninjau kemungkinan untuk menambah pelaburan dalam segmen EV di Malaysia manakala POSCO Holdings berhasrat membangunkan projek Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) serta mengembangkan lagi kilang pemprosesan kelulinya di negara ini dalam menyokong segmen perniagaan baharu seperti EV, bateri dan tenaga hijau.

Bagi Coway pula, keputusan syarikat untuk mewujudkan hab pembuatan dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertama di luar Korea Selatan telah membuktikan keyakinannya terhadap asas-asas ekonomi Malaysia serta persekitaran perniagaan yang kondusif, kata MIDA.

Selain itu, LOTTE Fine Chemical mengetengahkan cadangan projek bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan, menyokong peralihan rantaian nilai industri ke tahap seterusnya dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi serta berintensifkan pengetahuan.

Pada 2022, MIDA telah mengumumkan pelaburan diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bernilai RM264.6 bilion (US$59.9 bilion).

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 projek pembuatan dan perkhidmatan di bawah bidang kuasa MIDA yang menyaksikan penyertaan Korea Selatan dengan jumlah pelaburan bernilai US$1.42 bilion.

Kesemua projek itu menjana peluang pekerjaan bagi 1,389 orang dan Korea Selatan kini muncul sebagai pelabur asing ketujuh terbesar dari segi pelaburan diluluskan bagi 2022, kata MIDA.

Agensi itu juga menyifatkan pelaburan berterusan oleh pihak pelabur Korea Selatan hanya membuktikan kejayaan kelangsungan usaha Malaysia dalam menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.

“Minat kukuh dipaparkan oleh syarikat Korea Selatan dalam misi ini menjadi pemangkin utama dalam mengembangkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, terutama dalam bidang yang menyokong agenda mampan serta hijau yang diperjuangkan oleh kedua-dua negara,” kata MIDA.

— BERNAMA

Sequeira

Related Posts

Malaysia to Host World’s Largest Post-Quantum Cryptography Conference

KUALA LUMPUR: Malaysia is set to make history as the host of the world’s largest Post-Quantum Cryptography (PQC) Conference, scheduled to take place from 28 to 30 October at the…

Malaysia Anjur Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum Terbesar Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mencatat sejarah sebagai tuan rumah Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) terbesar dunia, yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini di Connexion Conference & Event Centre…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

SPRM Jejak Adam Radlan Berhubung Siasatan Baharu Projek Lebuh Raya MEX 2 — Selepas Bebas Tuduhan Jana Wibawa

  • November 15, 2025
SPRM Jejak Adam Radlan Berhubung Siasatan Baharu Projek Lebuh Raya MEX 2 — Selepas Bebas Tuduhan Jana Wibawa

Urgent Call For Sme Readiness As Malaysia Enters The Post E-Invoicing Era

  • November 14, 2025
Urgent Call For Sme Readiness As Malaysia Enters The Post E-Invoicing Era

Malaysia to Host World’s Largest Post-Quantum Cryptography Conference

  • October 27, 2025
Malaysia to Host World’s Largest Post-Quantum Cryptography Conference

Malaysia Anjur Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum Terbesar Dunia

  • October 27, 2025
Malaysia Anjur Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum Terbesar Dunia

Kes Revenue Group: Mahkamah Tangguh 3 Minggu Selepas Representasi Peguam Diterima

  • October 7, 2025
Kes Revenue Group: Mahkamah Tangguh 3 Minggu Selepas Representasi Peguam Diterima

Solarvest, Press Metal Tandatangan PPA RM380 juta Dengan SESCO Untuk Loji Solar 100MW Mukah

  • October 3, 2025
Solarvest, Press Metal Tandatangan PPA RM380 juta Dengan SESCO Untuk Loji Solar 100MW Mukah